Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang jadi perintis

Iklan
Mahfuz (dua, kiri) pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Pengerang, semalam.
KOTA TINGGI - Konsep pematuhan kendiri (self-regulation) bakal diperluaskan melibatkan semua industri di negara ini bagi mengurangkan kebergantungan penguatkuasaan dalam aspek keselamatan dan kesihatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kementerian menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ingin mengembangkan konsep berkenaan yang mana Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) menjadi perintis.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) berkata, pematuhan kendiri juga adalah selari prinsip dan falsafah di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994.

Katanya, tanggungjawab utama memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terletak pada mereka yang mewujudkan risiko di tempat kerja dan mereka yang bekerja dengan risiko tersebut.

"Selama ini penguatkuasaan dalam aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KPP) terletak di bawah JKKP, namun kita mahu majikan membentuk sistem kawalan pengurusan berdasarkan konsep pematuhan kendiri (self-regulation) sebagaimana yang dilaksanakan Pertroliam Nasional Berhad (Petronas) di projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang.

"Kementerian berhasrat memperluaskan konsep pematuhan kendiri kepada semua industri sekali gus mengurangkan beban tanggungjawab dan kos penguatkuasaan ditanggung kerajaan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Pengerang, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar, Ketua Pengarah, JKKP Malaysia, Ir Omar Mat Piah.

Mahfuz berkata, meskipun konsep pematuhan kendiri dilaksanakan semua majikan, namun JKKP tetap menjalankan penguatkuasaan seperti biasa, namun secara berkala.

Mengulas lanjut mengenai lawatan tersebut, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan kendiri dalam aspek KPP yang dilaksanakan Petronas bagi projek berkenaan dan berharap ia dapat menjadi peneraju dan contoh bagi semua pihak.

"Lawatan kerja ini bertujuan bagi meninjau status operasi dan kerja pembinaan yang sedang rancak dijalankan di PIPC dan melihat tahap keberkesanan langkah pencegahan dan kawalan yang diambil Johor Petroleum Development Carporation (JPDC) untuk memastikan tahap keselamatan dan sistem kawalan pengurusan kesihatan pekerjaan di PIPC,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menggalakkan pelajar melanjutkan pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah dalam bidang KPP kerana menjamin peluang pekerjaan cerah pada masa hadapan.

Katanya, khususnya di sektor minyak dan gas seperti pegawai keselamatan dan kesihatan (Safety and Health Officer), penyelia keselamatan tapak bina, pengendali perancah dan operator kren sebagai salah satu pilihan laluan kerjaya.

Mahfuz turut memaklumkan pihaknya akan cuba melihat dan berbincang dengan pihak dewan bahasa untuk mencari bahasa sesuai untuk jawatan pekerjaan yang boleh menarik masyarakat untuk bekerja dalam bidang berkenaan.