KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai sasaran sebenar pingat emas pada Sukan SEA Kemboja yang berbaki 43 hari lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Mark William Ling membayangkan perkara itu akan dimaklumkan selepas semua atlet selesai mengikuti kejohanan sebagai persiapan menghadapi temasya dwitahunan tersebut.
"Perlu sedikit masa. Kejohanan masih berlangsung," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan KOM sedia menilai semula sasaran 10 pingat emas menjelang temasya itu pada Mei depan.
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sasaran itu dibuat selepas beliau mengambil alih jawatan tersebut pada Jun tahun lalu.
Katanya, sasaran tersebut dibuat berdasarkan kepada situasi dan pencapaian atlet pada ketika itu.
Dalam pada itu menurut sumber KOM, atlet olahraga ketika ini menyertai kejohanan di Australia selain bakal mengharungi pertandingan terakhir di Singapura dua minggu sebelum Sukan SEA.
"Kita akan menilai prestasi atlet berpotensi untuk meraih emas berdasarkan pencapaian pada kejohanan yang disertai sepanjang persiapan ke Sukan SEA. Beberapa faktor lain juga akan diambil kira," katanya.
Hujung minggu lalu, skuad pecut lelaki negara, mencipta sensasi apabila menyapu bersih pingat perlumbaan pemanas badan Sukan SEA, Kemboja pada Kejohanan Siri Shield: Darren Thrupp Shield di Queensland, Australia.
Atlet pecut Khairul Hafiz Jantan, menemui rentak lariannya apabila meraih emas dengan catatan masa 10.34 saat (s) sekali gus melakar catatan masa terbaik peribadinya musim ini.
Muhammad Haiqal Hanafi meraih tempat kedua (10.41s) diikuti Jonathan Nyepa (10.43s) dan Muhammad Zulfiqar Ismail (10.48s) masing-masing meraih tempat ketiga dan keempat.
Pada Sukan SEA Hanoi yang diadakan pada Mei tahun lalu, skuad olahraga negara menepati sasaran memenangi lima emas selain meraih tiga perak dan lapan gangsa.
Lima pingat emas dari kem olahraga disumbang jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, Andre Anura Anuar (lompat kijang) dan Jackie Wong (baling tukul besi).
Turut cemerlang ialah atlet baling tukul wanita, Grace Wong dan Nor Sarah Adi (lompat bergalah wanita).