JEDDAH - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya Persatuan Kerjasama Islam (OIC), mengambil langkah tegas dalam menangani isu Islamophobia.
Beliau berkata, pandangan berkenaan antara yang disuarakannya secara peribadi, ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha dan delegasinya di sini, hari ini.
"Islamaphobia ialah sikap melampau benci dan anti-Islam yang tidak munasabah, tidak siuman kerana dia mengambil sikap yang agak benci kepada semua penganut Islam dan memandang rendah dan menghina agama dan pegangan umat.
"Jadi kita menyatakan harus ada kesediaan di peringkat antarabangsa (dalam soal ini),” katanya dalam sidang media selepas kunjungan hormat berkenaan, yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Perdana Menteri dan delegasi tiba di Jeddah hari ini, bagi lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi.
Anwar berkata, beliau turut memberi jaminan, bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan bukan sahaja sebagai anggota aktif OIC, malah sebagai antara negara pengasas pertubuhan itu dalam menangani pelbagai isu dihadapi umat Islam seluruh dunia.
"Manakala pihak Turkiye bersama Malaysia akan bersama-sama dalam usaha mengetengahkan isu Islamophobia, supaya difahami dan jangan kita biarkan serangan beberapa kelompok di barat yang benci pada agama, tapi kita harus mengambil sikap memberi jawapan yang tegas," katanya.
Selain itu, Anwar berkata, beliau turut membangkitkan isu Palestin dengan menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menyokong perjuangan hak warganya, selain mahu kerjasama rapat Malaysia dan OIC dalam hal berkenaan.
Dalam pertemuan berkenaan, Perdana Menteri berkata, beliau turut melaporkan usaha dan kesediaan Malaysia dalam membantu isu di selatan Thailand, dengan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Thailand, serta isu umat Islam di selatan Filipina.
"Seperti mana juga di selatan Filipina, di Mindanao. Bila perbincangan saya dengan Presiden Ferdinand R. Marcos Jr ini kita laporkan, supaya pihak OIC dapat mendengar sendiri tentang langkah-langkah kita cuba selesaikan masalah, membantu Filipina dan umat Islam yang sekarang diberi kuasa sementara," katanya.
Selain itu, Anwar berkata, pihak OIC memaklumkan beberapa langkah telah diambil, umpamanya kerajaan Arab Saudi akan mengadakan satu persidangan wanita peringkat antarabangsa untuk menekankan kepentingan pendidikan wanita. - Bernama