BEKAS pemenang Piala Dunia, Mesut Ozil dengan rasa berat hati mengumumkan persaraan daripada kerjaya bola sepaknya yang penuh dengan nota kejayaan.
Pemain berusia 35 tahun itu membantu Jerman memenangi Piala Dunia pada tahun 2014 dan menjadi tonggak kepada Real Madrid dan Arsenal di peringkat kelab.
"Selepas mempertimbangkannya, saya mengumumkan persaraan serta-merta daripada bola sepak profesional,” katanya.
Ozil turut meluahkan punca dia mengundur diri selain melahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang banyak membantunya berjaya dalam karier bola sepak.
"Saya berterima kasih di atas peluang menjadi pemain profesional hampir 17 tahun. Namun sejak kebelakangan ini, dengan kecederaan yang dialami, saya rasa sudah tiba masa yang sesuai untuk meninggalkan bola sepak.
"Saya ucapkan terima kasih kepada kelab-kelab yang pernah saya wakili - Schalke 04, Werder Bremen, Real Madrid, Arsenal, Fenerbahce dan Basaksehir. Jurulatih serta rakan sepasukan yang banyak membantu saya.
"Terima kasih juga kepada penyokong yang sentiasa setia bersama saya dalam apa jua keadaan dan di kelab mana saya berada,” kata Ozil.
Selain trofi Piala Dunia, Ozil turut memenangi gelaran La Liga dan Piala Raja Sepanyol bersama Real Madrid, Piala FA dan Piala Komuniti bersama Arsenal.
Pemain tengah menyerang turut meraih beberapa anugerah individu termasuk Anugerah Media Laures dan pemain terbaik Jerman pada tahun 2011, 2012, 2013, 2015 dan 2016.