PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud hari ini dilantik sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Perkara itu disahkan Khairul Dzaimee dalam sidang media pada Majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen pada Rabu yang menyifatkan pertukaran itu adalah pusingan kerja yang biasa.
Iklan
Iklan
"Bayangan pertukaran telah diberi dalam tempoh sebulan lalu kerana perkhidmatan saya sepanjang empat tahun adalah tempoh lama untuk seorang ketua pengarah di jabatan yang sensitif,” katanya.
Khairul Dzaimee, yang menyertai perkhidmatan awam pada Disember 1996, dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen pada 14 Januari 2019. Beliau juga pernah memegang jawatan penting di beberapa kementerian antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri.
Jawatan Ketua Pengarah Imigresen pula akan disandang oleh Datuk Ruslin Jusoh, yang sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mengenai tugas sebagai Ketua Pengarah BHEUU, Khairul Dzaimee berkata, ia merupakan satu bahagian yang penting kerana menguruskan beberapa isu perundangan negara termasuk tuntutan Sulu. - Bernama