Ribuan umat Islam mula menunaikan solat tarawih

Iklan
Umat Islam menunaikan solat sunat Tarawih malam pertama bulan Ramadan 1444H di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) malam Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kemeriahan sambutan bulan Ramadan yang penuh keberkatan mula dirasai apabila seluruh umat Islam di Malaysia memenuhi ruangan saf-saf di masjid bagi menunaikan solat sunat tarawih yang pertama bagi tahun 1444 Hijrah.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengisytiharkan umat Islam di Malaysia mula menjalani ibadah puasa esok, menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Iklan
Iklan

Di ibu negara, lebih 1,000 umat Islam pelbagai lapisan umur membanjiri Masjid Negara, di sini, bagi menunaikan solat sunat tarawih yang diimamkan oleh Ahmad Mujahid Salleh Sani, yang merupakan imam jemputan bagi solat sunat tarawih di masjid itu setiap kali bulan Ramadan sejak 2017.

Di PERAK, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini mengajak umat Islam untuk menjadikan Ramadan kali ini sebagai bulan pengorbanan, berkasih sayang dan mengeratkan hubungan sesama Islam.

Iklan

"Ambillah kesempatan sempena Ramadan untuk mendidik rohani dan jasmani kita untuk seikhlasnya membantu mereka yang memerlukan. Mudah-mudahan, madrasah Ramadan kali ini membuka pintu-pintu hati kita untuk menjadi insan yang selalu bersyukur dan mendambakan keredaan Allah SWT,” katanya.

Selain itu, tinjauan Bernama di Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor di sini pula mendapati kira-kira 1,500 jemaah hadir bagi solat tarawih pada malam ini.

Iklan
Umat Islam di Malaysia memenuhi ruangan saf-saf di masjid bagi menunaikan solat sunat tarawih yang pertama bagi tahun 1444 Hijrah. - Foto Bernama

Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dalam kenyataannya menyeru supaya rakyat menjadikan Ramadan kali ini sebagai peluang terbaik mendidik diri dengan semangat persaudaraan Islam dalam membentuk ummah, menerbitkan perasaan kasih sayang dan timbang rasa kepada mereka yang memerlukan.

Tinjauan Bernama di Masjid Mukim Kenor, Kuala Krai pula mendapati lebih 200 jemaah menunaikan lapan rakaat solat sunat tarawih dan tiga rakaat solat sunat witir.

Bagi Mohd Sayuti Abd Ghani, 56, berkata peluang menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, malah dapat menghidupkan bulan Ramadan dengan amal ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sementara itu di JOHOR, bagi penduduk Daerah Batu Pahat, yang merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas dengan bencana banjir, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut menyediakan imam bagi membantu lebih 1,000 mangsa yang masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) menunaikan solat sunat itu.

Antara PPS yang disediakan imam untuk solat tarawih termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Sejagong, SK Seri Manggis, SK Seri Tanjong, Sekolah Agama (SA) Sri Medan, SA Parit Sulong, SA Seri Chomel dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hua Min.

Di PAHANG, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang terletak di bandar Kuantan antara yang menjadi tumpuan umat Islam untuk menunaikan solat sunat tarawih dengan dipimpin imam Muhammad 'Izzan Idris dan Muhammad Hafizuddin Tajuddin.

Di SARAWAK, tinjauan Bernama di Masjid Al Abyad di Kuching mendapati kira-kira 300 umat Islam di sini mula menunaikan solat tarawih di masjid yang terletak di kawasan Matang Jaya itu.

Terdahulu, proses melihat anak bulan Ramadan di Kuching telah berlangsung di Pantai Damai Resort di sini, yang melibatkan petugas Jabatan Mufti Sarawak.

Di SABAH, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan ringkas mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam terutamanya di Sabah dan berharap umat Islam di negeri itu dapat mengambil peluang bulan yang penuh keberkatan itu untuk melipatgandakan ibadah bagi mendapat ganjaran pahala.

Lebih 1,000 umat Islam turut mengambil kesempatan menunaikan solat sunat itu di Majlis Bandaraya Kota Kinabalu bermula kira-kira 8 malam dengan dipimpin Imam Besar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu Hafiz Dr Hamzah Al-Hafiz. - Bernama