KUALA LUMPUR - Bekalan bahan basah selain telur dan minyak peket dilihat mencukupi menerusi tinjauan persiapan Ramadan di pasar raya NSK Selayang pada Rabu
Selain limpahan stok yang banyak, rata-rata pengguna turut berpuas hati dengan harga lebih rendah ditawarkan berbanding pesaing lain.
Tinjauan mendapati ikan cencaru boleh didapati dengan RM5.90 per kilogram (kg) berbanding RM8 harga pasaran selain ayam standard dijual dengan harga RM9.39 per kg.
Seorang pengguna, Haslini Mohd Khan, 58 dari Setiawangsa nyata terkejut dengan lambakan stok barang basah dan murah di pasar raya berkenaan.
"Kalau buat perbandingan dengan pasar raya lain, harga di sini lebih murah jadi saya beli stok Ramadan untuk keperluan dua minggu terus.
"Bagaimanapun, saya harap stok ini berkekalan dan tiada hadapi masalah sepanjang Ramadan dan juga musim perayaan Aidilfitri kelak," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Seorang lagi pengguna, Shelina Shahrani, 58, dari Hulu Kelang berkata, bekalan akan cukup jika pengguna tidak membuat pembelian panik.
"Beli ikut kemampuan, berhemah dan jangan ikut nafsu terutama pada bulan Ramadan. Apabila buat pembelian panik, ia akan menyebabkan stok berkurang dan berlaku kenaikan harga.
"Namun, pemerhatian saya mendapati bekalan di sini sentiasa ada dan mencukupi berbanding pasar mini yang kebanyakan stok akan habis awal menjelang petang," katanya.
Seorang pekerja swasta, Mohd Syahrizal Mohamed Hazri, 35 dari Gombak berkata, isu kenaikan harga dan masalah bekalan berlaku setiap kali menjelang musim perayaan disebabkan permainan harga oleh orang tengah.
"Kesian kepada pengilang, penternak dan peladang yang bersusah payah keluar hasil tapi orang tengah kaut untung sebab kawal harga.
"Harap kerajaan dapat mainkan peranan kawal orang tengah supaya harga tidak naik mendadak yang akhirnya kesan terpaksa ditanggung oleh pengguna," katanya.