ABU DHABI - Kementerian Pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesahkan tradisi tembakan meriam sebagai penanda waktu berbuka puasa akan berlangsung selama sebulan sempena Ramadan.
Menurut kementerian, pada tahun ini sejumlah meriam ditempatkan di 15 lokasi termasuk di Masjid Besar Sheikh Zayed di Abu Dhabi.
Lebih menarik, pada tahun ini sebuah meriam antik Perancis buatan 1894 yang pernah digunakan dalam dua Perang Dunia turut digunakan.
Beberapa meriam lagi ditempatkan di Al Ain, Al Dhafra, Ras Al Khaimah dan Umm Al Quwain.
Mengikut protokol, empat anggota keselamatan akan ditempatkan ketika dua das tembakan meriam dilepaskan.
Tembakan meriam itu boleh didengari sehingga jarak 10 kilometer.
Stesen televisyen juga akan menyiarkan secara langsung aktiviti tersebut setiap hari sepanjang Ramadan.
Difahamkan, tembakan meriam itu telah menjadi tradisi dan dilaksanakan sejak 1960-an lagi. - Agensi