PASIR PUTEH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam air kumbahan dalam kejadian di Kok Lanas, Kota Bharu pada Rabu.
Kejadian pada jam 2.30 petang itu disedari oleh ibu dan bapa tirinya apabila mendapati tiada kelibat Muhammad Azim Abdul Rahim.
Ibu kepada kanak-kanak berkenaan, Nur Ain Nabihah Mohd Zamri, 24, berkata, semasa kejadian dia dan suami, Mohd Khairi Jauhari Mohd Yusuf, 36, berada di kedai roti canai milik mereka sebelum menyedari ketiadaan anak bongsu daripada dua beradik itu.
"Saya dan suami cuba mencari di sekitar kedai dan kawasan berhampiran sebelum terlintas untuk memeriksa kawasan kumbahan yang terletak dalam jarak lima meter.
"Sebaik tiba di kawasan itu saya lihat sesuatu yang pelik, lumut di dalam air kumbahan tersebut sudah tiada. Melihat situasi itu, suami telah meminta adiknya turun ke dalam kumbahan terbabit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lorong Pondok Haji Muhammad, Selising di sini pada Khamis.
Menurutnya, anaknya ditemui tidak sedarkan diri di dasar air sedalam 0.4 meter itu oleh adik iparnya.
Nur Ain Nabihah berkata, dia dan suami terus membawa Muhammad Azim ke Klinik Kesihatan Kok Lanas untuk mendapatkan rawatan.
"Sebelum kejadian arwah berperangai pelik, dia banyak merengek seperti gelisah sedangkan sebelum ini dia tidak pernah begitu kerana seorang yang ceria serta aktif," katanya.
Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Jawa pada jam 8.30 pagi Khamis.