KEMAMAN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan pulang ke jeti Dungun pada malam Selasa lalu diteruskan pada Khamis.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, sektor pencarian mangsa ditingkatkan melibatkan kawasan seluas 60 batu nautika dan masih bertumpu sekitar perairan Pulau Tenggol dan Kuala Dungun.
"Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) hari ini (Khamis) disertai tiga aset dari Maritim Malaysia, pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia serta dibantu oleh bot-bot nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Dungun.
Menurut Rashidilhadi, keadaan cuaca dan laut yang baik diharap dapat membantu melancarkan operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan.
Dalam pada itu, katanya Maritim Malaysia menyeru orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.
Ujar beliau, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999.
Rabu lalu, Maritim Malaysia Zon Maritim Kemaman mengaktifkan SAR melibatkan seorang nelayan yang dikhuatiri hilang di laut sekitar 3 batu nautika dari Pulau Tenggol, Dungun.
Mangsa, Ismail Awang, 72, disedari hilang oleh awak-awak yang lain sekitar jam 11 malam Selasa lalu ketika bot dinaiki dalam perjalanan pulang ke Kuala Dungun.