KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan 27 lokasi bazar Ramadan sepanjang bulan puasa tahun ini.
Datuk Bandar, Rosli Latif berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 lokasi di Kuala Terengganu manakala sembilan lagi di Kuala Nerus.
Menurutnya, ia melibatkan seramai 1,755 peniaga dan semua mereka mula beroperasi pada Khamis.
"Antara lokasi itu adalah di pasar Chabang Tiga, pasar Bukit Besar, Pengadang Baru, Jalan Budiman, Dataran Shahbandar, Gong Badak, Jambatan Angkat, Wakaf Tengah dan pasar Batu Enam,” katanya pada Khamis.
Sementara itu, Rosli memaklumkan semua perniagaan makanan dan minuman milik orang Islam hanya dibenarkan memulakan operasi mereka bermula jam 3 petang sepanjang bulan Ramadan.
Sehubungan kata Rosli, semua peniaga diharap dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan bagi mengelak dikenakan tindakan selain menghormati kemuliaan bulan Ramadan.
"Mana-mana pengusaha, pemilik perniagaan makanan dan minuman yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah UUK (Establisymen Makanan) MBKT 1991.
"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.