AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan kompaun kepada pemilik sebuah kedai dobi di Jalan Mawar 4, Taman Muda di sini selepas dikesan melupus sampah premis dengan cara salah.
MPAJ dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam telah membuat semakan ke atas aduan mengenai sampah plastik pelembut pakaian yang bertaburan di tepi jalan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, semakan mendapati plastik pelembut pakaian tersebut dibuang oleh pemilik atau pekerja premis dobi berkenaan.
"Susulan itu, satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 4, UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPAJ 2007 dikeluarkan.
"Menerusi UUK berkenaan, tiada seseorang pun dibenarkan membuang apa-apa sampah di tempat awam atau tempat yang tidak ditetapkan oleh MPAJ sebagai lokasi pembuangan sampah," katanya pada Khamis.
Kenyataan itu memaklumkan, pemilik dan pekerja premis dobi tersebut juga telah diberikan penerangan berkaitan tatacara pembuangan sampah yang betul.
MPAJ memaklumkan, sehingga 16 Mac lalu, sebanyak 17 kompaun di bawah UUK dan kesalahan sama telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
"Sekiranya OKS masih tidak menjelaskan bayaran kompaun mengikut tempoh ditetapkan, MPAJ akan menyediakan kertas siasatan bagi tindakan seterusnya iaitu pendakwaan di mahkamah," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, berdasarkan rekod, sebanyak dua kes bakal dibawa ke mahkamah bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam pada tahun 2021.
Justeru katanya, orang ramai khususnya warga Ampang Jaya diingatkan supaya sentiasa mematuhi tatacara pembuangan sampah yang betul bagi mengelakkan wujudnya lokasi sampah haram yang boleh menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk setempat.
"Salurkan sebarang aduan mengenai kebersihan di kawasan MPAJ melalui https://mpaj.spab.gov.my/," katanya.