MAINPP larang individu, ahli politik ceramah tanpa tauliah

Iklan

GEORGETOWN - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melarang sesiapa pun yang mengajar, menyampaikan atau menerangkan mengenai agama Islam termasuk berceramah dan khutbah di mana-mana masjid serta surau di tanpa tauliah atau kebenaran daripada pihak berkuasa agama negeri ini.

Setiausaha MAINPP, Datuk Samsudin Bakar berkata, arahan ketetapan berkaitan tatacara penggunaan masjid dan surau berkenaan berkuatkuasa serta merta seperti pekeliling yang dikeluarkan pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 dan Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid 1997.

"Selaras dengan kehendak dan peruntukan enakmen dan kaedah tersebut, MAINPP menegaskan jawatankuasa kariah atau surau boleh menganjurkan sebarang aktiviti berbentuk ceramah agama, usrah, tazkirah, kuliah, perkongsian ilmu dengan memenuhi syarat yang digariskan.

Iklan

"Solat fardu lima waktu dan solat sunat berjemaah seperti tarawih hanya dibenarkan untuk diimamkan oleh imam lantikan atau yang dibenarkan oleh pihak berkuasa negeri," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Samsudin berkata, MAINPP turut menetapkan setiap khatib yang bertugas hendaklah membaca sepenuhnya teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang tanpa ditokok tambah atau dipinda.

Iklan

Malah, katanya khatib jemputan dilarang menyampaikan khutbah melainkan setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama di negeri ini.

"Setiap kuliah yang disampaikan tidak boleh menyentuh isu-isu politik kepartian dan sensitiviti kaum atau agama serta menjaga adab sopan dari segi bahasa penyampaiannya.

"Tidak dibenarkan untuk mengedar, menjual, menggantung, menampal atau memacak sebarang bentuk penerbitan yang mengandungi fahaman, ideologi atau doktrin yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana pihak di bangunan masjid atau surau serta perkarangannya.

"Orang bukan Islam boleh memasuki masjid dan ruang solat dengan keizinan pihak pengurusan masjid dengan syarat menjaga perlakuan serta tingkah laku agar tidak mencemarkan kesucian masjid dan surau," jelasnya.

Dalam pada itu, ketetapan berkenaan turut menggariskan individu yang memegang jawatan politik termasuk mereka yang menjadi calon pilihan raya dalam tempoh lima tahun adalah dilarang untuk memimpin solat, menyampaikan khutbah atau ceramah atau merasmikan apa-apa program anjuran masjid dan surau kecuali ahli MAINPP.

Katanya, penganjuran sebarang majlis oleh parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan politik juga dilarang.