MAKKAH - Jutaan umat Islam memenuhi seluruh ruangan Masjidil Haram, Makkah untuk menunaikan solat tarawih pertama di hadapan Kaabah, bermula malam Khamis.
Kebanjiran umat Islam dari serata dunia ke masjid paling mulia itu tidak hanya terhad pada waktu tarawih sahaja, sebaliknya hampir sepanjang masa, demi mengejar fadilat menunaikan ibadat di situ.
Bermula sebelum maghrib, kawasan sekitar Masjidil Haram termasuk di pekarangannya sudah dipenuhi jemaah yang mahu mengambil peluang untuk cuba masuk ke bahagian dalam untuk lebih hampir dengan Kaabah.
Bagi yang tidak dapat masuk, mereka reda menunaikan solat di kawasan dataran luar selain ruang kosong termasuk jalan-jalan berhampiran masjid berkenaan.
Keadaan hampir sama berlaku pada setiap waktu solat fardu susulan jutaan jemaah dilapor sudah berada di Makkah untuk menunaikan umrah sepanjang Ramadan.
Walaupun keadaan sesak dengan jutaan jemaah termasuk dari Arab Saudi sendiri, pihak berkuasa dapat mengawal keadaan dan memastikan solat tarawih dan fardu, selain ibadat umrah dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi iaitu dua masjid agung umat Islam sedia menerima kehadiran jutaan jemaah dan pengunjung untuk menunaikan ibadah umrah sepanjang Ramadan tahun ini.
Menurut Imam Masjidil Haram yang juga Presiden Umum Urusan Dua Masjid Suci di Arab Saudi, Sheikh Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais, kesemua urusan perkhidmatan kedua-dua masjid itu telah bersedia sepenuhnya menerima kunjungan jemaah dari seluruh dunia.
Segala persiapan termasuk penyelenggaraan tangga elektrik, lif, sistem audio serta kesemua aspek teknikal, kejuruteraan, perkhidmatan, kesedaran serta bimbingan juga telah diberi tumpuan sepenuhnya, kata Sheikh Abdulrahman.
Beliau turut memberitahu, tenaga-tenaga pakar dalam setiap bidang akan melakukan pemantauan secara berterusan untuk memastikan setiap fungsi berjalan baik selain penggunaan teknologi tertinggi diaplikasikan dalam usaha memastikan segala urusan berjalan lancar.
Kementerian itu menerusi kenyataan dimuat naik di laman Twitter rasminya berkata, permohonan itu terbuka kepada semua warga Saudi dan warga asing dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Kerajaan Arab Saudi menegaskan, permit umrah bagi warga asing sah laku sehingga 90 hari, di samping mengingatkan para jemaah agar tidak tinggal di negara itu melebihi tempoh berkenaan. - Awani