JITRA - Seorang peniaga menanggung kerugian lebih RM100,000 selepas gerai buah-buahan diusahakannya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Jalan Kubang Lembu, Jitra, pada Khamis.
Mangsa, Azlina Ibrahim, 47, berkata, ketika kejadian, dia berada di bahagian belakang gerai buah-buahan sebelum dikejutkan dengan hujan lebat dan ribut dalam kejadian pada jam 3.15 petang.
Menurut Azlina, kejadian berlaku sekelip mata sahaja apabila angin kuat terus mengangkat dan menerbangkan khemah ke atas jalan raya.
"Lebih 10 orang termasuklah anak, pekerja dan pelanggan yang berada dalam gerai bertempiaran lari menyelamatkan diri.
"Saya terkejut sebab sepanjang meniaga selama lebih 10 tahun memang tidak pernah belaku kejadian seumpama itu, mujur tiada kenderaan yang melalui jalan ketika khemah terbang," katanya pada Khamis.
Menurut Azlina, dia mengalami kerugian besar apabila sebahagian buah-buahan seperti tembikai, pisang, limau, mangga mengalami kerosakan.
Dalam pada itu, seorang remaja, Muhammad Haikal Khairul Anwar, 15, turut berdepan detik mencemaskan apabila kakaknya terbaring di bawah timbunan khemah yang diterbangkan angin.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karuddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 3.30 petang sebelum anggota bomba bersama dua jentera dikerah ke lokasi kejadian.
Bustan memaklumkan, anggota bomba terpaksa memotong beberapa pokok tumbang yang melintang di laluan jalan raya.
"Ketika ini, anggota masih melakukan kerja mengalihkan khemah dan tiang elektrik yang patah menghalang jalan raya," katanya.