IPOH - Kerajaan Perak menggalakkan pengunjung mengambil inisiatif membawa bekas makanan sendiri ketika membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kesedaran membawa bekas makanan dan minuman serta penggunaan plastik biodegradasi itu penting dalam mengurangkan sisa sampah.
Menurutnya, kempen itu giat dilaksanakan berikutan orang ramai berasa sukar untuk membawa bekas sendiri.
"Kita cuba bekerjasama dengan pihak swasta menerusi program CSR (tanggungjawab sosial korporat) dengan menyediakan cenderahati kepada pengunjung yang menyahut saranan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat bazar Ramadan Stadium di sini pada Khamis.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua WHIP Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman.
Menurut Sandrea, tapak pelupusan sampah berada dalam keadaan kritikal.
"Kutipan sampah dapat dikurangkan antara 20 hingga 30 peratus dilihat sudah cukup ketara.
"Bazar Ramadan dengan konsep mesra alam ini bergantung kepada inisiatif setiap pihak berkuasa tempatan (PBT). MBI melaksanakannya melalui ekonomi kitaran termasuk minyak masak terpakai,” tambahnya.
Pada masa sama, beliau berkata, seramai 27 penjaja berdaftar di bazar Ramadan yang mempromosikan makanan berkonsepkan Rahmah di People's Park.
"Kelebihan bazar ini adalah pengunjung berpeluang menerima tambah nilai e-wallet berjumlah RM20.
"Seramai 600 pengunjung dijangka akan menerima manfaat ini sepanjang Ramadan," katanya.
Tambah Sandrea, sebanyak 22 bazar Ramadan telah diwujudkan dengan melibatkan seramai 1,329 peniaga di kawasan bandar raya itu.