Harimau Malaya dalam kelas tersendiri

Iklan
Akhyar merembat leret menewaskan Charyyev untuk gol pertama Harimau Malaya. - Foto Flash Sukan

SKUAD Harimau Malaya berada dalam kelas tersendiri biarpun menewaskan Turkmenistan 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Gol tunggal jaringan Akhyar Rashid pada minit ke-28 dilihat sudah cukup memadai untuk mengesahkan kemenangan skuad kendalian Kim Pan-gon itu.

Iklan
Iklan

Kedua-dua pasukan dilihat bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak ke gawang lawan masing-masing dalam usaha membuka jaringan.

Skuad Harimau Malaya akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan apabila pemain sayap, Akhyar Rashid berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat sebelum merembat leret menewaskan Charyyev pada minit ke-28.

Iklan

Tersentak dengan gol itu, kesebelasan Turkmenistan dilihat mula bangkit mengasak dalam usaha menyamakan kedudukan, namun berjaya dikekang benteng pertahanan skuad negara hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, benteng skuad negara dikejutkan dengan asakan pantas pelawat namun Syihan berjaya menyelamatkan tandukan penyerang, Durdyyev Didar.

Iklan

Skuad negara kemudiannya dilihat lebih banyak menguasai perlawanan selepas itu selain turut melakukan banyak percubaan ke gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan.

Namun tiada jaringan tambahan berjaya dilakukan skuad Harimau Malaya, hingga ke wisel penamat.

Kemenangan itu bagaimanapun membuka peluang buat skuad kendalian Kim Pan-gon itu memperbaiki kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan berada pada kedudukan ke-140.

Secara keseluruhannya, skuad negara berjaya menambah sebanyak 5.27 mata hasil kemenangan berkenaan bagi mengumpul 1,077.26 mata.

Untuk rekod, Malaysia kini berada di kedudukan ranking ke-145 senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan pencapaian terbaik negara adalah menduduki ranking ke-75 dunia pada 1993 manakala rekod terburuk pula adalah ketika berada di tangga ke-176 dunia pada 2018 lalu.

Malaysia akan bertemu Hong Kong pada satu lagi aksi persahabatan Tier 1 berdepan Hong Kong, 28 Mac nanti.

MALAYSIA – Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Dominic Tan, Faisal Abdul Halim, Darren Lok, Paulo Josue, Brendan Gan, Akhyar Rashid, KDion Cools (kapten), La’vere Corbin Ong, Endrick Dos Santos

TURKMENISTAN – Charyyev Rasul, Soyunoz Shohrat, Geldiyev Ata (kapten), Mingazov Ruslan, Tagayev Elman, Durdyyev Didar, Mammedov Ybrayym, Tamurkin Ilya, Bashimov Abdy, Annadurdyyev Altymrat, Hojayev Resul

PENGADIL – Ahmad A’qashah Ahmad Al’badowe