KABUL - Sesi persekolahan tahun akademik baharu di Afghanistan sudah dibuka, namun begitu pemerintahan Taliban masih menafikan peluang untuk pelajar-pelajar perempuan daripada menghadiri kelas di peringkat menengah.
Portal berita Al Jazeera melaporkan, Menteri Pendidikan Habibullah Agha mengesahkan perkara itu berkata, pelajar-pelajar perempuan hanya berpeluang mendapat pendidikan sehingga Gred 6 sahaja dan kerajaan masih kekal tidak membenarkan golongan itu menghadiri pengajian peringkat menengah.
Menurut Yada, seorang pelajar Gred 9 di Kabul memberitahu Al Jazeera, madrasah merupakan pusat pengajian paling tepat sekali utuk meningkatkan pengetahuan agama.
Sementara mimpi dan keinginan Sara yang berada di Gred 10 pula semoga sekolah-sekolah dibuka sepanjang masa.
"Semoga satu hari nanti sekolah akan dibuka (untuk pelajar-pelajar perempuan) dan pembelajaran saya akan terus berkembang. Harapan saya tidak pernah hilang,” ujarnya.
Sejak berkuasa pada Ogos 2021, pemerintah Taliban begitu tegas dalam melaksanakan pemerintahan Islam.
Tindakan tidak membenarkan pelajar perempuan melanjutkan pendidikan di peringkat menengah dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu oleh Taliban, hanya beberapa jam selepas Kementerian Pendidikan membuka semula sekolah untuk pelajar perempuan dan lelaki.
Tidak ada mana-mana negara yang majoriti penduduknya beragama Islam menafikan hak Pendidikan kepada kaum wanita.
Taliban juga, lapor portal itu, mengharamkan wanita melanjutkan pengajian di universiti pada Disember lalu.