TANAH MERAH - Menyedihkan. Itu keadaan seorang lelaki sebatang kara yang terpaksa tinggal dalam sebuah pondok dibina daripada dua kepingan zink di Taman Pewira, Batu 11, Batu Gajah di sini.
Tambah memilukan apabila Zakaria Othman, 58, turut berpanas menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan di pondok yang berlantaikan tanah itu.
Menurut lelaki itu, pondok segi tiga seluas 0.3 meter x 0.6 meter tersebut menjadi tempat tinggalnya sejak enam tahun lalu kerana tidak mempunyai wang untuk membina sebuah rumah di atas tanah yang ditumpangkan oleh kakaknya.
"Saya menghidap sakit jantung, paru-paru berair, kencing manis, darah tinggi, saraf dan buah pinggang,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Bapa enam anak berusia tujuh hingga 30-an itu berkata, dia pernah cuba membina sendiri rumah di hadapan tapak pondok tersebut namun terbengkalai kerana kudrat yang semakin lemah selain tidak ada wang untuk membeli bahan-bahan binaan.
"Anak-anak saya ada kehidupan mereka sendiri dan turut hidup susah. Mereka ada datang sekali-sekala melawat saya.
"Makan dan minum pula saya tebalkan muka meminta di rumah kakak yang terletak 500 meter dari tapak pondok ini. Pernah juga tiga hari ikat perut tidak makan,” katanya.
Zakaria berkata, dia juga tidak menjalani rawatan di hospital kerana kesempitan hidup selain tidak mempunyai telefon bimbit dan hanya mandi menggunakan air dari sebuah telaga berdekatan.
Kekangan yang dihadapi juga menyebabkan dia tidak pernah membuat permohonan sebarang bantuan secara rasmi.
Orang ramai yang ingin membantunya boleh hubungi rakan Zakaria di talian 013-979 1789 (Muhammad Nasir Mustapha) atau salurkan ke akaun Zakaria Othman CIMB Bank 7613341878.