KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan untuk memulakan sistem pembayaran tol terbuka dengan hanya melibatkan lima lebuh raya di seluruh negara terlebih dahulu, dilakukan bagi memastikan sistem itu dapat berfungsi dengan baik sebelum diperluaskan ke lebuh raya lain.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun beberapa lagi syarikat konsesi telah menunjukkan minat dan menyatakan kesediaan untuk turut serta dalam sistem pembayaran, namun usaha itu tidak boleh dilaksanakan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan pembangunan perancangan terlebih dahulu.
"Yang paling penting, sistem yang dicadangkan diuji terlebih dahulu sebelum dilaksanakan sepenuhnya. Ini bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari yang akan menyusahkan pengguna,” katanya menerusi Facebook rasminya pada Jumaat.
Baru-baru ini Nanta mengumumkan akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit selewat-lewatnya September ini.
Lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, usaha untuk melaksanakan sistem bayaran tol terbuka itu telah dilakukan pasukan Kementerian Kerja Raya (KKR) daripada Bahagian Pembangunan dan Penswastaan (BPP) sejak 2022 lagi.
Beliau berkata, ia mengambil masa yang agak lama kerana hal berkenaan bukan satu perkara mudah selain perlu melalui banyak proses.
Ia termasuk dari aspek teknikal, perundangan dan kewangan yang perlu diperhalusi dan diperjelaskan oleh semua pihak terlibat sebelum keputusan memulakan sistem pembayaran terbuka ini di lima lebuh raya pertama dapat dicapai.
Sementara itu mengulas persoalan tentang pihak manakah yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan dan memastikan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka itu dilaksanakan, Nanta berkata, semua punca kuasa pelaksanaan sistem pembayaran tol dan semua yang berkaitan tertakluk di bawah bidang kuasa KKR.
"Sehubungan itu saya memohon semua pihak menunggu pengumuman KKR berkenaan senarai jajaran dan lebuh raya yang bersedia untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham dan masalah dalam kalangan pengguna di kemudian hari.
"Ia akan ditentukan selepas semua proses libat urus, teknikal, perundangan dan kewangan telah dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat,” katanya. - Bernama