Geng Mat Kedah jual ketum tumpas

Iklan
Ku Mashariman (tengah) menunjukkan rampasan air ketum yang dibuat pihaknya susulan serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya, Isnin lalu.

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Kegiatan Geng 'Mat Kedah' yang menjadikan sebuah rumah teres di Lorong PJS2D/15D, Taman Medan di sini, sebagai tempat memproses air ketum sejak enam bulan lalu, dibongkar polis.

Pembongkaran dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Petaling Jaya susulan tertangkapnya dua lelaki berusia lingkungan 30-an merupakan pembeli air ketum di sekitar kawasan berkenaan, kira-kira jam 10 pagi, Isnin lalu.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, soal siasat terhadap dua suspek itu kemudian membawa serbuan di rumah terbabit dengan tangkapan empat lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 17 sehingga 54 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan menemui 120 botol berisi air ketum bernilai RM2,400 dengan anggaran berat 180,000 mililiter.

Iklan

"Turut dirampas adalah dapur gas, periuk, tong gas serta beberapa peralatan dipercayai diguna untuk memproses air ketum.

"Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Iklan
Antara rampasan air ketum susulan serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya, Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Ku Mashariman berkata, pihaknya percaya air ketum yang dijual dengan harga RM20 sebotol diedar sekitar daerah Petaling Jaya. Polis juga tidak menolak kemungkinan air ketum ini juga diedar di daerah berhampiran.

Beliau berkata, soal siasat juga mendedahkan, kegiatan yang didalangi suspek berusia 54 tahun ini dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum dari negeri di utara tanah air.

"Kita percaya suspek ini mampu menjual 60 hingga 70 botol air ketum setiap hari. Kebanyakan sasaran pembeli terdiri daripada kalangan penganggur dan pelanggan tetap," katanya.

Mengulas lanjut, statistik melaporkan, seramai 181 individu ditahan sepanjang tahun lalu atas kesalahan memiliki dan mengedar ketum. Manakala, tahun ini, seramai 46 individu berjaya ditahan.

Antara rampasan barang dan air ketum susulan serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya, Isnin lalu.