AMPANG - Hanya beberapa jam kutipan mencecah sehingga RM240, itu antara hasil diperoleh seorang wanita warga asing yang meminta meminta sedekah di tapak Bazar Ramadan Keramat Permai di sini.
Suspek dikesan hanya bermodalkan bekas berwarna merah jambu sambil duduk menadah tangan meraih simpati orang ramai.
Tindakan suspek berumur lingkungan 50-an itu bagaimanapun membawa padah apabila diberkas dalam operasi yang dijalankan sepasukan anggota polis pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kegiatan suspek dibongkar menerusi aduan yang diberikan oleh orang awam.
"Suspek kemudiannya ditahan sebelum pemeriksaan dalam beg yang disandang suspek mengandungi wang kira-kira RM240 hasil kegiatan tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pemeriksaan dijalankan turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 27(C) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.