GEORGETOWN - Orang Islam dinasihatkan supaya tidak membazir makanan dengan membuat pembelian berlebihan sepanjang bulan Ramadan ini.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya telah melancarkan kempen menentang pembaziran dan sikap boros sejak 11 tahun lalu setiap kali bulan puasa.
Menurutnya, pembaziran bukan sahaja ditentang dalam Islam malah agama lain juga tidak menggalakkan pembaziran.
"Mengapa ini berlaku di negara kita sedangkan berjuta orang tidak mempunyai makanan, tempat berteduh, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang mencukupi. Orang kita terlampau banyak beli dan makan menyebabkan mereka malas untuk menjalankan kewajipan selepas waktu berbuka puasa.
"Sikap lahap ketika makan juga boleh memberi kesan sampingan yang serius kepada kesihatan seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, orang Islam sepatutnya berbuka puasa di rumah dalam suasana yang sederhana dengan juadah ala kadar sahaja.
"Elakkan daripada berbuka puasa di hotel dan sebagai ganti berbuka puasa di rumah dan masjid dengan ahli keluarga serta rakan-rakan. Program berbuka di hotel yang menyediakan berpuluh hidangan juga merupakan penyumbang terbesar kepada pembaziran makanan terutamanya dalam bulan Ramadan.
"Pelbagai jenis dan jumlah makanan berlebihan yang disediakan untuk berbuka puasa dan sahur telah membawa kepada pembaziran. Banyak makanan dibuang oleh pihak hotel ke tempat pembuangan sampah.
"Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan pada 2016, setiap kali Ramadan 200,000 tan makanan dibuang terus ke dalam tong sampah. Jumlah makanan ini boleh diberi kepada 180 juta orang," katanya.
Tambahnya, membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan.
"Ia juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai dengan melepaskan karbon dioksida yang menyebabkan pemanasan global.
"Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadan ini lebih bermakna dan mengayakan lagi kerohanian. Jemput lah jiran bukan Islam anda untuk berbuka puasa bersama. Dengan cara ini kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.