Skuad bola keranjang cadang ambil pemain 'import'

Iklan
Mohd Nasir menunjukkan bakat bermain bola keranjang. - Foto Facebook MSN

PERSATUAN Bola Keranjang Malaysia (MABA) bakal mengikut jejak bola sepak apabila bercadang untuk mendapatkan khidmat pemain naturalisasi bagi melonjakkan kualiti sukan tersebut.

Ketua Kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA 2023, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, sekiranya Malaysia berjaya mendapatkan khidmat beberapa pemain import, ia berpotensi untuk meningkatkan mutu bola keranjang pada masa depan.

Iklan
Iklan

"Ada usaha oleh MABA untuk memasukkan pemain naturalisasi, namun ia masih dalam perbincangan MABA.

"Kita tengok Filipina banyak pemain naturalisasi. Ada pemain dari Amerika Syarikat. Kalau nak diikutkan jika ada satu dua pemain naturalisasi ianya akan membantu pasukan untuk bertambah baik,” ujarnya.

Iklan

Beliau bersama timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee ditemui media ketika mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama atlet serta jurulatih sukan bola keranjang di Wisma MABA, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mengulas persiapan skuad bola keranjang negara Mohd Nasir berkata, mereka berada dalam fasa terakhir latihan intensif yang antara lain memberi tumpuan kepada taktikal permainan.

Iklan

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati. Daripada segi strategi dan taktiknya, mereka sudah ada, cuma ingin menggilap sedikit yang masih longgar,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih bola keranjang wanita negara, Tracy York menjelaskan wujud usaha untuk mengambil beberapa pemain naturalisasi berpotensi diserapkan ke dalam pasukan.

Tracy. - Foto Facebook MSN

Bagaimanapun katanya, ia memerlukan proses yang panjang kerana melibatkan masa dan urusan dokumen yang merumitkan.

"Ia adalah pelan untuk jangka masa panjang. Kita ada mengenalpasti beberapa pemain naturalisasi yang baik, namun agak sukar kerana ia melibatkan urusan pasport dan tentunya mengambil masa.

"Ketika ini, saya fokus kepada pemain yang kita ada terlebih dahulu,” katanya.

Tambahnya, skuad bola keranjang wanita negara mempunyai kekurangan daripada sudut saiz badan pemain berbanding negara Asia Tenggara lain.

Justeru beliau optimis jika kehadiran pemain naturalisasi menjadi kenyataan, Malaysia mampu bersaing dengan kuasa bola keranjang lain kerana memiliki struktur tubuh badan yang hampir serupa.

"Kita perlukan pemain naturalisasi yang tepat daripada segi saiz. Misalnya Indonesia, mereka mempunyai pemain naturalisasi dan mendapat keputusan yang baik,” ujarnya.