Menteri KDN diminta pertimbang lanjut PLKS tiga subsektor

Iklan
Sivakumar - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diminta mempertimbangkan agar pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sedia ada dalam tiga subsektor iaitu tekstil, tukang gunting dan tukang emas yang tamat pada Mac ini, dilanjutkan untuk satu tempoh masa yang bersesuaian.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dalam kenyataan pada Jumaat berkata, beliau telah berbincang dengan Saifuddin Nasution untuk membuat pertimbangan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kerajaan Perpaduan prihatin dengan permintaan majikan tempatan untuk pembukaan semula subsektor tekstil, tukang gunting dan tukang emas bagi penggajian pekerja asing.

"Ketiga-tiga subsektor itu telah dibekukan sejak 2009 dan ditutup sepenuhnya bagi penggajian pekerja asing sejak tahun 2019,” katanya.

Iklan

Sivakumar berkata, terdapat proses yang perlu diikuti apabila ia berkait sebarang dasar kerajaan mengenai penggajian pekerja asing dan ia perlu dibawa ke peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Berkaitan Pengurusan Pekerja Asing terlebih dahulu.

"Sebarang syor daripada mesyuarat Jawatankuasa Bersama ini kemudiannya akan dibentangkan untuk pertimbangan dan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum pengumuman mengenai pembukaan semula ketiga-tiga sektor ini dapat dilaksanakan," katanya.

Iklan

Menurutnya, sebarang dasar kerajaan berkaitan penggajian pekerja asing termasuk pembekuan atau pembukaan semula sesuatu sektor atau subsektor juga akan mengambil kira situasi semasa serta keperluan sebenar majikan. - Bernama