Fenomena penghijaban planet Zuhrah oleh bulan pada 2 Ramadan

Iklan
Fenomena penghijaban planet Zuhrah yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin pada Jumaat.

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia teruja menyaksikan keindahan kejadian penghijaban planet Zuhrah oleh bulan pada waktu Maghrib.

Masing-masing berkongsi foto itu di media sosial yang dirakam menggunakan telofon bimbit mereka sendiri.

Iklan
Iklan

Antaranya, Nordin Kardi yang tidak melepaskan peluang untuk memuat naik gambar di Facebooknya berkata, ini adalah kali pertama dia melihat kejadian sedemikian.

"Subhanallah, saya tak pernah tengok bulan pada hujung sabitnya ada bintang. Masa ini saya ada di kampung,” katanya.

Iklan

Pengguna Twitter, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan yang turut berkongsi gambar fenomena itu memberitahu bahawa ‘bintang’ tersebut sebenarnya adalah planet Zuhrah.

"Gambar bulan malam ini, didampingi bintang Kejora (sebenarnya planet Zuhrah). Saya petik jam 8 malam tadi,” ciapnya.

Iklan

Dalam pada itu, pengguna akaun di TikTok @Abey Stich yang teruja berkongsi video kira-kira satu jam lalu menyatakan kejadian tersebut merupakan salah satu keajaiban ALLAH SWT yang berlaku pada hari kedua Ramadan.

"Keajaiban dua Ramadan, tiada bintang mengelilingi langit. Hanya sebutir bintang di hujung bulan. Adakah malaikat bersemayam di atas sana?” katanya.

Sebelum ini, Falakonline memaklumkan, Malaysia utara, timur, utara Sarawak, Brunei dan Sabah berpeluang menyaksikan penghijaban planet Zuhrah pada waktu Maghrib, 24 Mac 2023.

Menurutnya, negeri-negeri lain juga boleh menyaksikan bulan melintas secara dekat dengan planet Zuhrah pada waktu yang sama.

"Pada petang tersebut menerusi mata kasar kita akan dapat lihat sebutir ‘bintang’ yang amat terang betul-betul berada di sisi kiri bulan sabit yang masih lagi halus.

"Kali terakhir fenomena ini berlaku di Malaysia ialah pada 27 Mei 2022 lepas. Namun ia berlaku pada waktu siang dan tidak ramai dapat menyaksikan sendiri.

"Waktu bermula dan berakhirnya penghijaban ini berbeza dari satu lokasi ke lokasi lain. Anda boleh melakukan kiraan sendiri dengan menggunakan aplikasi seperti SkySafari atau Celestron SkyPortal dan seumpamanya,” ujarnya.

Portal itu turut menjelaskan, zon penghijaban gelincir ialah kawasan di mana sebahagian daripada cakera planet Zuhrah akan terlindung oleh sisi bulan.

Tambahnya, Zuhrah akan kelihatan mempunyai bentuk (bukan titik seperti bintang) apabila dilihat menerusi teleskop.

"Kadangkala ia berbentuk bulat seperti bulan purnama, ada ketika seperti bulan separuh dan ada juga seperti bulan sabit.

"Pada 24 Mac 2023 nanti, bentuk Zuhrah ialah seperti fasa Gibbous Moon atau bulan menggemuk.

"Oleh itu, akan ada kawasan-kawasan tertentu yang akan dapat lihat bahagian ‘atas’ Zuhrah terpotong sedikit. Ada juga akan dapat lihat Zuhrah seperti terpotong separuh dan ada yang dapat lihat hampir kesemua Zuhrah hilang kecuali sedikit sahaja,” jelasnya.