NEW YORK - Air menjadi nadi manusia terpenting, namun krisis air yang melanda dunia baru-baru ini bakal mencetuskan kebimbangan bahawa malapetaka baharu bakal terjadi apabila sumbernya semakin tiada.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Water.org dan Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang diterbitkan baru-baru ini memberi amaran mengenai sumber air yang semakin berkurangan di beberapa tempat selain air tercemar, sekali gus menyerlahkan risiko krisis air global.
"Jika sesuatu tidak dilakukan, ia akan terus menyebabkan 40 dan 50 peratus penduduk dunia tidak mempunyai akses kepada sanitasi, serta kira-kira 20 hingga 25 peratus penduduk dunia sukar mendapatkan bekalan air bersih,” kata pengarang utama laporan, Richard Connor kepada AFP.
Ditambah populasi global semakin meningkat setiap hari, akan lebih ramai orang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan mendapatkan bekalan air tersebut.
Laporan juga memberi amaran kekurangan air akan menjadi ‘endemik’ akibat penggunaan air berlebihan dan pencemaran, manakala pemanasan global akan meningkatkan kekurangan air bermusim di kawasan air banyak dan kawasan hampir tiada air.
Menurut kajian iklim PBB yang diterbitkan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) pada Isnin, hampir separuh penduduk dunia kini mengalami kekurangan air teruk sekurang-kurangnya pada tahun ini.
Menurutnya, golongan miskin paling terjejas akibat krisis air ini yang menyebabkan keadaan semakin membimbangkan.
"Tidak kira anda berada di mana, jika anda cukup kaya anda akan berjaya mendapatkan bekalan air,” tambah Connor.
Laporan itu turut menyatakan bahawa kesan bekalan air menjadi tercemar akibat sistem sanitasi yang tidak terurus atau tiada langsung.
"Sekurang-kurangnya dua billion orang di seluruh dunia menggunakan sumber minuman yang tercemar dengan najis, sekali gus meletakkan mereka berisiko dijangkiti penyakit taun, kepialu dan polio,” katanya.- AFP