Pengawal keselamatan terdedah amalan rasuah

Iklan
Khaidzer Kedah

SHAH ALAM - Pengawal keselamatan di negara ini mudah terlibat dengan gejala rasuah kerana kurangnya pendedahan ilmu berkenaan integriti.

Mendedahkan isu berkenaan, Pengarah Urusan Kawal Wiramas, Khaidzer Kedah berkata, terdapat pengawal keselamatan yang beranggapan perbuatan rasuah yang dilakukan itu tidak salah kerana dianggap hadiah atau pemberian seseorang.

Iklan
Iklan

"Pengawal keselamatan yang menjaga premis kondominium misalnya, dengan hanya sogokan sekotak rokok, mereka sedia melepaskan sesiapa sahaja masuk ke premis tanpa mencatat nombor pendaftaran kenderaan, siapa penumpang dan sebagainya. Tindakan ini boleh menjejaskan keselamatan penghuni premis.

"Mungkin mereka anggap itu bukan satu rasuah, mungkin itu sekadar belanja. Perkara itu terjadi kerana pengawal keselamatan tidak faham dan tiada pengetahuan mengenai bentuk-bentuk rasuah,” katanya kepada pasukan Rasuah Busters baru-baru ini.

Iklan

Mengulas lanjut berhubung industri ini, Khaidzer berkata, ada pengalaman rakan-rakannya yang mengatakan duit dicuri gara-gara sikap tidak amanah segelintir pekerja industri ini.

"Saya cakap secara umum, kadang-kadang sistem membawa duit hanya menggunakan karung simpanan biasa yang membolehkan ia dikeluarkan tanpa disedari sesiapa.

Iklan

"Ramai rakan-rakan saya dalam industri, mereka kata kadang-kadang duit yang mereka bawa boleh mencecah RM300,000 apabila sampai kepada pihak terbabit kurang RM5,000,” katanya.

Justeru, beliau menggesa supaya Rasuah Busters menjalankan kerjasama dengan pihak industri bagi membantu menyebarkan mesej antirasuah dan bersama-sama mengembleng tenaga ke arah #MalaysiaTanpaRasuah.

"Kalau boleh kemukakan satu modul untuk pensijilan ini supaya pengawal keselamatan tahu dan faham apa itu rasuah dan bentuk-bentuknya,” katanya.