Kapten Mbappe ledak dua gol

Iklan
Mbappe - Foto AFP

KYLIAN Mbappe membalas kepercayaan selepas diberikan lilitan kapten meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 Perancis di tempat sendiri ketika menentang Belanda dalam kempen kelayakan Kumpulan B Euro 2024 pada awal pagi Sabtu.

Mbappe, yang dinamakan sebagai kapten selepas Hugo Lloris menamatkan karier antarabangsanya pada Januari, memulakan perlawanan dengan melakukan bantuan gol kepada Antoine Griezmann pada minit kedua.

Iklan
Iklan

Dayot Upamecano menambah jaringan enam minit kemudian dan Mbappe menjadikan kedudukan 3-0 di pertengahan babak pertama.

Mbappe meledak gol keduanya dua minit sebelum tamat perlawanan dengan Belanda berpeluang menjaringkan gol namun sepakan penalti Memphis Depay dalam masa kecederaan diselamatkan penjaga gol, Mike Maignan.

Iklan

Ia persembahan meyakinkan daripada anak buah Didier Deschamps menentang Belanda yang kehilangan beberapa tonggaknya selepas dijangkiti virus.

"Kami tidak mahu mengecewakan peminat kami. Ini adalah perlawanan pertama di sini selepas Piala Dunia dan kami mahu meneruskan rentak sebelum ini, kecuali ketika final.

Iklan

"Saya cuba melakukan tugas saya, membuat keputusan dan memimpin rakan sepasukan. Ia berhasil hari ini tetapi ini baru permulaan," kata Mbappe.

Kekalahan itu adalah tamparan hebat untuk pengendali Belanda, Ronald Koeman yang mengendalikan perlawanan pertamanya sejak dia mengambil alih tugas daripada Louis van Gaal.