SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk menambah baik kadar pencen hilang upaya (PHU) dan kadar elaun sentiasa (ELS) yang terlepas pandang sejak 22 tahun lalu.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sharuddin Omar berkata, kerajaan sudah sedia maklum bahwa PHU dan ELS kepada veteran cedera ketika bertugas masih menggunakan kadar lama dan ia harus dikaji semula kerana sudah lapuk.
"Saya difahamkan ketika ini jumlah penerima faedah PHU tidaklah terlalu besar jumlahnya, hanya seramai 1,798 veteran yang cedera parah semasa bertugas.
"Sebilangan besar mereka cedera dalam operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) di zaman negara menghadapi Darurat Kedua.
"Mereka adalah veteran yang cedera di tahap 21 hingga ke 100 peratus ketika bertugas. Daripada jumlah berkenaan, 14 orang Veteran PHU layak menerima ELS," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.
Beliau menambah, kajian itu telah dibengkelkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sejak tahun lalu dengan harapan kerajaan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk melaksanakannya.
Sharuddin mengambil contoh, ada dalam kalangan veteran yang mengalami kecederaan kekal sejak 1976 namun kerajaan hanya mampu membayar sebanyak RM114.24 setiap bulan.
"Sebagai contoh seorang veteran dari Kampung Kok Lanas, Ketereh, Kelantan putus kaki dari buku lali ke bawah terpijak 'bobby trap' komunis di Gubir, Sik, Kedah pada tahun 1976.
"Kecederaan kekal akibat tindakan musuh hanya dibayar PHU RM114.24 sebulan. Bayangkan kecederaan berlaku sejak tahun 1976 (sudah 47 tahun yang lalu). Namun, kerjaaan hanya mampu bayar RM114.24 sebulan," katanya.
Rabu lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dilaporkan berkata, kerajaan sedang menilai semula skim pencen bekas anggota ATM secara menyeluruh termasuk pemberian pencen hilang upaya, kebajikan dan pengurusan perkhidmatan kesihatan.
Ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat itu beliau berkata, antara lain adalah menjalankan kajian dan semakan semula itu mengambil kira pelbagai aspek termasuk tangga gaji, keadaan hilang upaya dan tanggungannya.