SUNGAI PETANI - Dua penunggang motosikal cedera selepas terbabit kemalangan dengan dua ekor babi yang melintas jalan dalam kejadian di Semeling malam Jumaat.
Kedua-dua penunggang berusia 22 dan 35 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Semeling ke Bedong menggunakan Jalan Pintasan Semeling.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua motosikal sedang bergerak dari arah sama menuju ke hadapan di laluan tersebut.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal tidak sempat mengelak dan terlanggar babi yang secara tiba-tiba melintas dari kanan ke kiri jalan.