'Rindu tarawih bersama arwah ibu, aboh'

Iklan
Nur Ain Fitriyyah (tengah) bersama dua adiknya, Muhammad Adami Najmudden (kanan) dan Muhammad Adzli Abid Muayyad melihat gambar dua ibu bapa mereka yang terkorban dalam nahas jalan raya pada 20 Januari lalu.

KUALA TERENGGANU - Pemergian kedua ibu bapa akibat nahas jalan raya pada Januari lalu meninggalkan kesan mendalam buat anak sulung, Nur Ain Fitriyah Ahmad Arsad, 17 yang kini perlu menggalas tanggungjawab menjaga kedua adiknya.

Perasaan rindu dalam diri pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Khairiah itu semakin mendalam lebih-lebih lagi setiap kali tiba bulan Ramadan yang biasanya diraikan bersama dua insan tersayang itu.

Iklan
Iklan

"Saat-saat paling saya rindu dan masih terbayang-bayang ialah ketika kami beramai-ramai tunaikan solat tarawih bersama arwah ibu dan aboh (gelaran untuk ayah). Bila teringat rasa rindu sangat.

"Macam saya duduk asrama, jarang balik rumah. Jadi, setiap kali balik mesti ibu dan aboh ajak makan dekat luar raikan kepulangan saya," katanya yang menyimpan impian menjadi seorang guru.

Iklan

Nur Ain Fitriyyah ditemui pemberita ketika menerima sumbangan faedah pencen penakat dan faedah pengurusan mayat yang disampaikan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Farihah Che Husin di kediaman ibu saudaranya di Kampung Bukit Depu di sini pada Sabtu.

Nur Ain Fitriyah dan dua adiknya iaitu Muhammad Adami Najmudden, 13 dan Muhammad Adzli Abid Muayyad, 7, kini di bawah jagaan ibu saudaranya, Norhayati Mamat.

Iklan

Sementara itu, Muhammad Adzli Abid Muayyad berkata, dia begitu rindukan masakan ibunya setiap kali bulan Ramadan.

Nahas berlaku di kilometer 41 Jalan Kuala Terengganu - Dungun dekat Kampung Selawa, Merchang, di sini pada 20 Januari lalu menyebabkan pasangan suami isteri, Rozita Mamat, 41 dan Ahmad Arsad Mamat, 51 meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua anaknya cedera parah.

Farihah (empat dari kanan) ketika menyampaikan faedah pengurusan mayat dan pencen penakat kepada waris mangsa yang terkorban dalam nahas jalan raya pada 20 Januari lalu.

Tiga anaknya iaitu Nur Ain Fitriyyah patah dua paha, Muhammad Adami Najmudden patah paha, betis dan tangan kiri manakala Muhammad Adzli Abid Muayyad mengalami kecederaan ringan.

Buat waktu ini Nur Ain Fitriyyah masih belum mampu bergerak seperti biasa dan perlu melalui beberapa rawatan termasuk fisioterapi serta terpaksa memakai lampin pakai buang yang dibelanjakan kira-kira RM450 sebulan.

Sementara itu, Farihah berkata, hasil semakan Perkeso mendapati Allahyarhamah Rozita mempunyai cukup syarat caruman bagi melayakkan waris menuntut faedah pencen penakat.

Katanya, tiga anak Allahyarham menerima faedah pencen penakat sebanyak RM579.90 yang disalurkan setiap bulan ke akaun penjaga sehingga mereka berusia 21 tahun atau bukan lagi di bawah tanggungan atau sehingga ijazah pertama.

"Perkeso Terengganu juga mengiktiraf mereka sebagai anak angkat Perkeso yang ke-12 di bawah program Protek Perkeso bagi memastikan kebajikan dan masa depan pendidikan mereka terjamin," katanya.

Ujar Farihah, Perkeso Terengganu telah memproses sebanyak 550 kes tuntutan faedah dengan keseluruhan pampasan dibayar berjumlah RM1,784,638.43 sepanjang tempoh Januari hingga Februari 2023.

"Bagi statistik skuad Prihatin Perkeso Terengganu pula, sebanyak 16 kes berjaya diproses dan selesai dalam tempoh ditetapkan iaitu bermula Januari hingga 23 Mac tahun ini," ujarnya.