PASIR MAS - Jeritan meminta tolong seorang lelaki menyelamatkan beberapa deretan rumah di Kampung Bechah Menerong daripada kebakaran dalam kejadian jam 8 pagi Sabtu.
Peniaga, Noor Suhada Mohd Nor, 30, berkata, ketika itu dia berada di dalam rumah sebelum dimaklumkan oleh suaminya, Mohd Shamsul Hassan, 38.
Menurut Noor Suhada, rumah pusaka yang terbakar itu dihuni oleh saudara sepupunya.
Bercerita mengenai kebakaran yang berlaku Noor Suhada berkata, ketika itu, suaminya sedang menjemur kain dan dikejutkan dengan laungan saudaranya, Sayed Muhammad Azam Sayed Kamarul Zaman, 42, yang meminta tolong.
"Suami kemudiannya berlari memberitahu saya. Terkejut dengan kejadian itu, saya terus menghubungi bomba," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.
Bagaimanapun, ibu seorang anak itu memberitahu, mereka pada mulanya tidak melihat api kerana api mula merebak di bahagian belakang.
Jelasnya, Sayed Muhammad Azam atau dipanggil Ayed tinggal sendirian di rumah itu selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu manakala adik-beradik yang lain juga berjauhan.
"Kami bersyukur Ayed selamat selepas terhidu asap tebal di dalam rumah kerana dia mengalami sakit jantung," katanya.
Katanya, Ayed yang mengambil upah membaiki perkakas elektrik kini hanya tinggal sehelai sepinggang dan semua dokumennya hangus.
"Lebih menyedihkan apabila perkakas elektrik yang dibaiki Ayed turut musnah dalam kejadian itu dan dia buntu memikirkan cara untuk menggantikan perkakas itu," katanya.
Simpati dengan nasib Ayed, Noor Suhada berhasrat membantunya membaiki satu ruang di rumah berkenaan bagi membolehkan saudaranya itu tinggal dengan selesa.
"Saya akan cuba mendapatkan bantuan kewangan bagi membolehkan Ayed menumpang teduh di rumah itu," katanya.
Mereka yang bersimpati boleh menghubungi Noor Suhada di talian 0139722416.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Azmi Hussin berkata, bomba menerima panggilan pada jam 8.20 pagi.
Tambahnya, sepasukan anggota bersama tiga jentera daripada Balai Bomba Pasir Mas bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, rumah berkenaan dianggarkan mengalami kemusnahan sebanyak 90 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan.