JEMPOL - Seorang peniaga wanita memohon maaf selepas kereta yang dipandunya merempuh enam buah gerai di Bazar Ramadan Bandar Seri Jempol di sini pada pagi Sabtu.
Peniaga berkenaan, Nur Shaliyana Abdullah, 34, berkata, kejadian lebih kurang jam 10 pagi itu berlaku ketika dia hendak meletakkan kenderaannya di situ susulan kedai sewanya berhampiran lokasi tersebut.
"Kejadian itu sekelip mata sahaja, rasanya dah tekan brek tetapi berlaku sebaliknya kereta meluncur laju depan," katanya pada Sabtu.
Bagaimanapun dia bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kecederaan kepada orang lain berikutan jualan bazar belum bermula.
"Selepas kemalangan ada peniaga lain membantu mengeluarkan saya dan mereka turut membantu mengenal pasti pemilik gerai terlibat.
"Saya minta maaf dan akan membayar ganti rugi semua gerai yang rosak,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan akibat rempuhan itu.
"Empat khemah gerai patah manakala dua buah gerai pula mengalami kerosakan pada meja," katanya.