TAIPING - Dugaan awal Ramadan buat 14 keluarga di Kampung Sungai Relong dan Kampung Baru Batu 5 dekat Kamunting di sini apabila kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir pada Sabtu.
Kejadian sekitar jam 8.30 malam itu mengakibatkan 60 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Sungai Relong.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak memaklumkan, setakat jam 9 malam, hanya satu PPS yang dibuka.
"Daripada 60 mangsa terlibat, 21 merupakan kanak-kanak. Setakat ini keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini," katanya.
Sementara itu, pemantauan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting berjaya mengeluarkan dua warga emas dari kediaman yang dinaiki air.
Ketua Operasi, Jamil Mat Isa berkata, kedua-dua mangsa di bawa ke PPS dengan menaiki kenderaan utiliti.
"Kebanyakan mangsa pindah dengan sendirinya. Operasi pemantauan akan terus dilakukan secara berkala di lokasi kejadian," katanya.