KUALA LUMPUR - Kumpulan Bank Dunia menjangkakan penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia akan memberikan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara untuk jangka sederhana.
"Pastinya, pelaburan awam akan menyokong pertumbuhan untuk jangka sederhana daripada perspektif Keluaran Dalam Negara Kasar,” kata ketua pakar ekonomi bagi Malaysia, Richard Record, kepada pemberita pada taklimat mengenai perkembangan terkini ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) di sini, hari ini.
Beliau, bagaimanapun, menggesa kerajaan mengambil langkah berhati-hati dengan projek-projek yang dilaksanakan supaya manfaatnya kepada rakyat dapat dimaksimumkan.
"Sebaik sahaja projek-projek dilaksanakan, kerajaan perlu fikirkannya secara mendalam dan bekerja keras untuk memastikan projek dikendalikan dengan berhati-hati, pemilihan kompetitif, perolehan awam dan pengurusan efisien untuk memastikan pulangan maksimum ke atas pelaburan aset awam,” katanya.
Kerajaan mengumumkan penyambungan semula projek ECRL pada 12 April dan penerusan projek Bandar Malaysia pada 19 April.
Berhubung penyusutan ringgit, Record menasihatkan kerajaan untuk memberi tumpuan pada asas-asas penting ekonomi daripada keadaan turun naik jangka pendek.
Beliau berkata asas penting ekonomi yang pelbagai mendapat manfaat daripada pertumbuhan pelbagai sumber, domestik dan asing, pembuatan untuk eskport, penggunaan domestik serta pelbagai sektor dan bidang.
"Mungkin, tumpuan patut diberikan untuk memperkukuhkan asas-asas berkenaan dan bagaimana Malaysia boleh meningkatkan produktiviti dan daya saingnya dalam jangka sederhana, dan ini akan memacu kadar pertukaran dalam jangka masa sederhana," katanya.
Bagaimanapun, Rekod berkata, penyusutan ringgit kini memberi manfaat kepada daya saing luaran negara.
"Kadar pertukaran yang semakin lemah bagaimanapun agak membantu dari segi daya saing luaran ketika pertumbuhan global perlahan. Adalah tidak menyakitkan untuk mempunyai kadar pertukaran yang lemah dari segi prestasi eksport," katanya.
Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS hari ini pada 4.1270 / 1300 daripada 4.1250/1300 pada penutupan semalam.
Sementara itu, Rekod menggesa Malaysia untuk mengurangkan kebergantungannya kepada pendapatan berkaitan minyak dan gas dan perlu mempelbagaikan sumber pendapatannya untuk mengurangkan kejutan di masa hadapan.
"Sebagai sebahagian daripada usaha penyepaduan fiskal Malaysia, terdapat beberapa pembaharuan dilaksanakan termasuk peralihan kepada cukai jualan dan perkhidmatan daripada cukai barang dan perkhidmatan, dan secara relatifnya perkongsian pendapatan berkaitan minyak dan gas sebagai sebahagian daripada pendapatan sektor awam telah meningkat," katanya.
Beliau berkata peningkatan pergantungan kepada minyak dan gas bermakna Malaysia lebih terdedah kepada perubahan dalam harga minyak dan gas.
"Sekiranya kejutan besar berlaku, ia akan memberikan kesan terhadap hasil sektor awam, dan itu adalah sesuatu yang perlu difikirkan untuk jangka masa sederhana.
"Begitu juga, ekonomi Malaysia amat pelbagai dan menyediakan sumber kekuatan, kami ingin menggalakkan kerajaan untuk mempelbagaikan sumber hasil dan perlu menjadi lebih berdaya tahan terhadap kemungkinan kejutan di masa depan," katanya.