Sastera Islam membentuk sahsiah

Iklan
Masyarakat jahiliah bukan sahaja terpesona dengan kekuatan bahasa al-Quran, juga isinya yang tajam mendalam dan pencitraannya yang luar biasa. - Gambar hiasan 123rf

ALHAMDULILLAH, kini kita berada dalam bulan ibadah, ubudiah dan taabudiyah, bulan puasa yang penuh kemuliaan dan barakah. Bulan yang dijanjikan sebagai madrasah pembersihan diri, sebuah tajalli yang menyingkap kerahsiaan terbukanya hijab, dan proses pentakwaan kembali kepada insan fitrah. Syaitan-syaitan pun terbelenggu.

Pada zaman Rasulullah SAW, pengarang-pengarang menghasilkan syair-syair memuji keberkatan Ramadan, mereka juga berlumba-lumba mentilawahkan al-Quran. Kitab suci penuh mukjizat yang paling agung sepanjang sejarah manusia itu, ditadabbur dan diamalkan mana yang terdaya.

Iklan
Iklan

Sebagai kitab suci bagi umat Islam, al-Quran mengajar manusia ke arah akidah yang benar, tasyrik yang lurus dan akhlak yang tinggi, bagi membentuk hamba yang taabudi kepada khaliqnya, dan menjalin hubungan ukhuwah sesama muslim.

Ditanzilkan di tengah-tengah masyarakat yang sedang menghargai sastera, al-Quran mampu mengubah jalur sastera sesuatu bangsa itu, menjadi akliah dan rasional. Justeru, sastera telah menjadi wahana kepada pembentukan sahsiah muslim.

Iklan

Sejak zaman jahiliah sasterawan memiliki martabat dan tuah. Lambang kepada kabilah, sumber kekuatan, kehormatan dan kemuliaan. Dengan karya-karya mereka mempertahankan kedudukan kabilah dan syaikhnya.

Sebab itulah orang Arab berbudaya dengan keghairahan sasteranya, tercermin dalam genre syair, pidato, kisah dan amsal. Masyarakatnya yang terkurung antara empayar Rom dan Parsi, dihimpit oleh batu-batu pejal gondol dan gurun, terdesak oleh kemiskinan air, menjadikan mereka kaum yang fanatik dan gemar berperang; tetapi aneh, mereka sangat menyintai dunia sastera.

Iklan

Segalanya adalah berindukkan sastera. Peperangan pun ditentukan oleh sasterawannya. Setiap tahun mereka merayakan pesta sastera sebagai hari kebesaran di pasar Ukaz, Majinnah dan Zul Majaz.

Keajaiban al-Quran yang tidak terstruktur sebagai syair tetapi seperti puisi dan bukan prosa tetapi semacam prosa. Di dalamnya mengandung ayat-ayat muhkamah iaitu hukum-hakam dan banyak sekali cerita serta amsal. Genre baharu al-Quran itu melemahkan dan melumpuhkan kekuatan sastera jahiliah.

Malah, kepercayaan jahiliyah yang ditakluki oleh 360 buah berhala di keliling Kaabah, telah goyang oleh ijaz al-Quran. Tidak sahaja terpesona dengan kekuatan bahasanya, juga isinya yang tajam mendalam dan pencitraannya yang luar biasa.

TERPESONA

Di Hijaz terdapat seramai 250 orang pengarang dewasa itu. Apabila mereka mendengar dan membaca al-Quran, mereka sangat terpesona, kagum dan hairan dengan ketinggian seni sasteranya. Ada yang bersyahadah kepada Rasulullah.

Namun, ramai yang menentangnya, mereka mengatakan al-Quran adalah syair dan Muhammad adalah penyair. Muhammad bersahabat dengan syaitan.

Antara penyair Islam ialah Hassan ibnu Thabit, Kaab bin Malik dan Abdullah ibnu Rawahah, mereka menentang penyair-penyair kafirin itu.

Hassan memuji Rasulullah:

Yang lebih baik daripadamu tak pernah dilihat mata siapa pun,

Tak ada pula wanita yang melahirkan bayi seindah dirimu,

Engkau tercipta bersih dan suci daripada segala aib dan cacat,

Seakan engkau tercipta sebagaimana keinginanmu sendiri.

Kesempurnaan Rasulullah adalah lambang kesempurnaan Maha Pencipta-Nya. Rasulullah bersabda, mafhumnya,"Sesungguhnya ALLAH SWT menciptakan Adam daripada seluruh unsur tanah, maka anak cucu Adam lahir menurut kadar tanah tersebut, ada yang berkulit merah, putih, hitam atau antara warna-warna tersebut. Ada yang mudah atau susah dan ada yang jelek dan ada yang baik.” (Riwayat Tirmizi).

Daripada Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: Ketika ALLAH menciptakan Adam, Dia membiarkannya berproses, lalu Iblis mengelilingi seraya memperhatikannya. Ketika Iblis melihat tanah tersebut kering, dia mengetahui bahawa itu adalah makhluk yang tidak memiliki apa-apa. (Riwayat Muslim). Sebab itulah Iblis memandang rendah atas kejadian manusia.

Tetapi kemudian manusia diberi sifat fizikalnya berjisim dan berstruktur lebih cantik daripada makhluk lainnya. Istimewanya, ia memiliki roh. Namun, kerana kedegilannya, Iblis berkata,"Engkau ya Rabbi jadikan aku daripada api sedangkan dia engkau jadikan dia daripada tanah.” Sifat kesombongan membawa kecelakaan dan laknat. Sasterawan Islam sepanjang zaman menghasilkan sastera menentang cemuhan dan hasutan setan iblis itu. Pena digerakkan untuk pengabdian dan taabudiyah kepada Maha Pencipta.

Maqasid kepengarangannya ialah pembentukan sahsiah insaniyah al-muslim sejati. Memperkuat akidah, memperteguh syariah dan mengungguli tasawwuf atau akhlaknya. Melalui pembinaan individu muslim al-hak, membina keluarga atau al-usrah yang sempurna, melahirkan masyarakat yang bersepadu bagi mengujudkan sebuah ummah muttahidah, kuat dan teguh.

Zaman moden dengan kesibukan pembangunan dan pergelutan politik, sastera Islam banyak merujuk kepada tulisan Sayyid Qutb. Diakui beliau merupakan tokoh pertama yang mengemukakan idea dan definisi sastera Islam tentang idealisme kepengarangan dan teori kritikan sastera.

Antara lain beliau menyatakan, sastera Islam mengiktiraf perasaan manusia selagi perasaan itu tidak berpaling daripada manhaj Islami. Akidah merupakan persoalan akar dalam isu pembentukan jiwa manusia. Akidah elemen terpenting dalam diri manusia; kerana akidah yang benar akan menentukan kekuatan iman manusia.

FITRAH

Dalam konteks ini, Muhammad Qutb menyatakan bahawa perasaan suka kepada seni merupakan satu fitrah. Perasaan merupakan unsur utama yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Justeru itu, kecenderungan perasaan terhadap seni berteraskan akidah tauhid mampu melahirkan karya seni ketauhidan. Pandangannya memberi impak besar kepada perkembangan sastera Islam seluruh negara.

Sementara itu, tokoh penting zaman ini, Yusof al-Qaradawi mengingatkan, seandainya umat Islam kekurangan benteng akidah dan akhlak, akan tergelincir dalam kemelut zaman pascamoden.

Dalam hubungan ini, kita perlu mengingatkan semula mafhum sabda Rasulullah:"Dalam penciptaan sastera terdapat al-hikmah” supaya para pengarang sedar tanggungjawabnya kepada manusia, bangsa dan negaranya.

Sementara itu, Saidina Umar al-Khattab mengingatkan, jika hendak berjaya dalam hidup,"Ajarlah anak-anak kamu menunggang kuda, tepat memanah dan mendekati sastera”. Kata mutiara Amirul Mukminin itu menunjukkan betapa pentingnya keilmuan sastera dalam membina keperibadian ummah.

Menurut Ibnu Abbas, pengarang itu sendiri dituntut banyak mengingati ALLAH dan istiqamah melakukan kebajikan, sementara karyanya berhikmah supaya khalayak melakukan amal makruf dan nahi mungkar serta berpegang dengan tasyrik Islami.

Demikianlah tazkirah kecil ini untuk mengingatkan diri saya dan pengarang serta khalayak seluruhnya pada bulan al-Mubarak ini, supaya menjadikan dunia sastera sebagai wasilah pengabdian.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.