SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menjelaskan tindakan mengejut untuk menghentikan penajaan pelajar di universiti tempatan yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, meskipun kerajaan perlu mengawal bilangan graduan dalam bidang itu, namun bukan dengan cara menghentikan pinjaman pengajian.
"Adakah langkah ini akan menjejaskan kepakaran yang diperlukan untuk sektor penjagaan kesihatan awam dalam masa terdekat dan jangka panjang?
"Apakah dasar kerajaan mengenai perancangan sumber manusia untuk sektor penjagaan kesihatan awam?,” soalnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
JPA dalam satu kenyataan pada 25 Mac memaklumkan, bidang perubatan, pergigian, farmasi dan pendidikan adalah antara kursus yang tidak lagi ditawarkan tajaan oleh jabatan tersebut pada tahun ini.
Menurut kenyataan, antara lain yang turut tidak ditaja adalah bidang yang memerlukan pelajar mengambil jenis-jenis lesen seperti lesen penerbangan, lesen menyelam dan sebagainya, program-program berbentuk francais universiti awam atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan sebagainya.
Tambah JPA, tajaan adalah hanya untuk pelajar yang melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti awam, politeknik premier dan universiti berkaitan kerajaan yang telah dipilih oleh jabatan untuk pinjaman boleh ubah.
Tambah Muruga, MMA juga berharap agar JPA dapat berkongsikan unjuran pegawai perubatan, pakar, kakitangan penjagaan kesihatan yang akan diperlukan untuk lima dan 10 tahun akan datang.
Jelas beliau, sehingga kini, negara masih belum mencapai nisbah seorang doktor untuk 400 pesakit yang disyorkan di fasiliti penjagaan kesihatan awam.
Menurutnya, di sesetengah hospital, nisbah boleh menjadi sehingga satu doktor kepada 1000 pesakit dan masih juga terdapat kekurangan bagi pakar penjagaan kesihatan awam.
"Kebimbangan kami adalah mungkin tiada pakar yang secukupnya pada masa hadapan kerana permintaan untuk perkhidmatan ini semakin meningkat dan dijangka terus meningkat berikutan populasi yang semakin tua.
"Malaysia akan mencapai status negara menua pada 2030 di mana 15 peratus daripada penduduknya akan berumur 60 tahun atau lebih. Bagaimana kita bersedia untuk perubahan demografi dalam populasi kita?” soalnya lagi.
Tambah beliau, pelajar universiti tempatan yang ingin meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan masih memerlukan sokongan.
"Oleh demikian, semua pihak harus terus menyokong mereka disebabkan tidak semua pelajar berasal dari keluarga yang berada," katanya.