Bufet Ramadan tetap dapat sambutan walaupun harga naik

Iklan
Suasana bufet Ramadan di d'tempat Country Club Negeri Sembilan.

SEREMBAN - Meskipun berlaku peningkatan harga hidangan bufet Ramadan di kebanyakan hotel dan restoran di Negeri Sembilan susulan keadaan ekonomi semasa, ia masih menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Malah rata-rata yang ditemui Sinar Harian menyatakan kemudahan dan pelbagai hidangan istimewa yang ditawarkan berbaloi walaupun mereka perlu membayar dengan harga mahal.

Iklan
Iklan

Munirah Bibi Hamsa, 40 berkata, berbuka puasa di lokasi berbeza pada Ramadan ini dengan hidangan bufet memberikan pengalaman manis buatnya sekeluarga.

"Walaupun kita rasa agak mahal harga itu (bufet) berbanding kita buat sendiri tetapi pada pandangan saya kita dapat luangkan masa dengan keluarga dengan suasana berlainan.

Iklan

Seorang lagi pelanggan bufet Ramadan, Mohamad Fazlee Aziz, 36, berpendapat menu makanan yang ditawarkan menarik perhatiannya.

"Harganya (bufet Ramadan) agak tinggi tetapi suasana dengan kemudahan yang ada serta makanannya agak menarik, berpadananlah dengan harga yang ditawarkan," katanya.

Iklan

Begitu juga dengan Muhammad Hafiz Abd Rahman, 39, yang senada dengan penjelasan kedua-dua individu berkenaan.

Katanya, terdapat banyak pilihan menu sesuai dengan harganya selain mengambil kira kemudahan parkir dan menjamu selesa secara santai bersama keluarga ataupun rakan sepejabat.

Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts,Datuk Seri Lee Tian Hock (tiga kiri) turut hadir pada majlis berbuka puasa di d'Tempat County Club_Tarbus 2023.

Sementara itu, menurut Pengurus Besar Hospitaliti d'tempat Country Club Negeri Sembilan, Alan Key berkata, kenaikan harga bahan mentah menjadi salah satu faktor utama kenaikan harga hidangan bufet pada Ramadan kali ini.

"Kami menyedari berlaku kenaikan harga barangan ketika ini namun kami masih mengekalkan harga bufet Ramadan di sini dengan harga yang berpatutan dan kami menanggung sebahagian kos untuk memastikan pelanggan kami menikmati hidangan buka puasa ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kebanyakan harga bufet Ramadan yang ditawarkan tahun ini bermula dari RM78 hingga lebih RM250 untuk dewasa, manakala RM55 hingga lebih RM200 bagi kanak-kanak.

Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan memaklumkan

berlaku peningkatan 10 peratus harga hidangan bufet berbuka puasa di kebanyakan hotel di sini, namun ia masih berpatutan.

Jelasnya, harga bufet yang ditawarkan kebanyakannya antara RM45 sehingga RM65.