AMPANG - Pemilik sebuah bengkel motosikal di pusat komersial Ampang Waterfront, di sini berdepan risiko hartanya dilelong selepas gagal membayar cukai taksiran melebihi dua penggal.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, MPAJ menerusi jabatan hasil pada Jumaat lalu mengadakan operasi tunggakan cukai taksiran di kedai berkenaan.
Menurutnya, pemilik tersebut didapati gagal menjelaskan tunggakan selepas Notis E tamat menyebabkan 30 tayar motosikal serta peralatan membaiki motosikal di premis berkenaan bernilai RM10,096 disita.
"Tindakan sitaan yang dijalankan adalah selaras dengan keperluan Seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) susulan kegagalan pemilik yang menjelaskan tunggakan cukai taksiran yang tertunggak setelah tempoh Notis E selama 15 hari tamat," katanya.
Katanya, dalam operasi itu, lapan premis termasuk bengkel motosikal berkenaan diperiksa membabitkan tunggakan keseluruhan bernilai RM55,211.
"Daripada jumlah itu, MPAJ berjaya mengutip tunggakan cukai taksiran berjumlah RM50,522 daripada tujuh premis," katanya.
Beliau berharap tindakan itu dapat mengurangkan jumlah pemilik hutang tegar dan memastikan pemilik harta lebih bertanggungjawab dalam menjelaskan cukai taksiran MPAJ mengikut tempoh yang ditetapkan.
Jelasnya, pemilik atau pemegang harta yang tidak mampu menjelaskan keseluruhan tunggakan cukai taksiran boleh hadir ke Menara MPAJ untuk rundingan bayaran secara ansuran.
Tambahnya, operasi yang menumpukan kepada premis mempunyai tunggakan cukai taksiran melebihi dua penggal dan tunggakan melebihi RM1,000 itu akan dilaksanakan sehingga Jun depan.