Suami isteri maut kemalangan selepas ziarah abang ipar meninggal

Iklan
Anggota penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang terlibat kemalangan di KM46, Kampung Selamat, Sungai Tong di Setiu, pada Sabtu. - Foto ihsan bomba

SETIU - Suami isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kampung Selamat, Sungai Tong, di sini pada Sabtu dalam perjalanan pulang selepas menziarahi abang ipar meninggal dunia di Besut.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, pasangan itu bersama seorang anaknya bertolak balik ke rumah di Kuantan sebelum terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa mereka.

Iklan
Iklan

"Anak lelaki mangsa, Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, yang cedera parah kini masih dirawat di Hospital Setiu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Afandi turut menasihati orang ramai dan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu bagi mengelak berlakunya musibah.

Iklan

Pada Sabtu, Faizul Azman, 44, dan isterinya, Habsah Ismail, 44, maut manakala anak lelaki mereka cedera parah dalam kemalangan di Kilometer (KM) 46, Kampung Selamat, Sungai Tong di sini.

Kemalangan kira-kira jam 1.17 tengah hari itu melibatkan sebuah lori, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu Proton Exora dan Toyota Wish, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara serta Perodua Axia.

Iklan

Pasangan itu yang menaiki Proton Exora meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah manakala Muhammad Daniel Dzulkarnain dikejarkan ke Hospital Setiu.

Sementara itu, Habsah sempat memuat naik status terakhir dengan meluahkan perasaan sedih selepas kematian abang iparnya di Facebook kira-kira 12 jam sebelum terlibat dalam nahas berkenaan.

Selain itu, Facebook Habsah dan Faizul turut dipenuhi dengan ucapan takziah dari saudara, rakan dan kenalan atas kematian pasangan tersebut.