BATU PAHAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Batu Pahat berjaya melaksanakan pemindahan perubatan (Medivac) ke atas seorang kru kapal yang mengalami serangan jantung, pada Sabtu.
Menurut Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus, pihaknya menerima aduan daripada ejen syarikat perkapalan mengenai seorang kru kapal Vangelis mengalami serangan jantung semasa kapal sedang belayar menuju ke pelabuhan Singapura.
Katanya, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat (PUSOP) menyalurkan maklumat kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru bagi mengkoordinasikan kedudukan kapal, aset Maritim Malaysia iaitu Bot Kilat 13.
"Bot Kilat 13 dihantar ke lokasi kapal berkenaan sejauh 17 batu nautika dari Barat Daya Tanjung Tohor, Muar.
"Setibanya di lokasi, mangsa, Rogelio P Abucejo, 53, warga Filipina berada dalam keadaan kesakitan dan perlu dibawa ke hospital dengan kadar yang segera," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah Mohd Haniff, sementara menunggu bantuan tiba, pihaknya turut memberikan bantuan awal kecemasan menggunakan portable oxygen terhadap mangsa.
"Kru berkenaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Medevac itu adalah kes pertama bagi di perairan Zon Maritim Batu Pahat bagi tahun ini.
"Selain tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang di laut, Maritim Malaysia juga turut membantu masyarakat atau komuniti maritim membuat penerbangan atau pelayaran ihsan bagi kes-kes kecemasan di laut.
"Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat atau menghubungi talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999,” katanya.