LIPIS - Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 21, Jalan Lipis-Merapoh di sini pada Ahad.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Abdul Manaf Zakaria, 48 dari Kampung Kemuning, Berchang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, isteri mangsa, Noraida Mustapha, 44 yang cedera parah (patah tangan dan paha) dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, pengusaha kedai tayar berusia 83 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa bersama isteri yang menaiki motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari Kampung Berchang menghala ke pekan Padang Tengku.
"Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai membelok masuk ke simpang kanan dan telah dilanggar kenderaan dipandu warga emas yang datang dari arah bertentangan," katanya.
Azli berkata, kemalangan meragut nyawa penunggang itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.