Tiga beradik dirantai kerana bimbang keselamatan

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KANGAR - Suspek wanita yang disyaki mendera tiga anak lelakinya yang ditemukan dalam keadaan diikat dengan rantai besi di Simpang Empat, dekat sini pada malam Jumaat disifatkan sebagai ibu penyayang.

Kakak kepada wanita tersebut yang dikenali sebagai Hamidah berkata, suspek juga adalah seorang yang penyabar dan jarang memarahi anak-anaknya walaupun mereka dianggap sangat nakal serta sukar dikawal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek yang bekerja di sebuah institusi pendidikan di Kangar sebagai pekerja kebersihan dipercayai merantai kaki anak-anaknya untuk menjaga keselamatan mereka terutamanya dua daripada mangsa memiliki kad orang kurang upaya (OKU) iaitu masalah pendengaran dan pembelajaran.

"Dahulu anak sulungnya pernah jatuh ke dalam sungai yang terletak 50 meter di hadapan rumah kami. Mereka juga suka merayau-rayau di sekitar kampung dan jalan raya.

Iklan

"Mereka juga selalu mencari jalan untuk keluar dari rumah termasuk mematahkan jeriji tingkap dan merosakkan kunci untuk meloloskan diri dari rumah," katanya semasa ditemui di rumahnya di Simpang Empat di sini pada Ahad.

Menurut Hamidah, sebelum kejadian adiknya itu memberitahu dia akan pulang ke rumah suaminya di Alor Sena dan memintanya membantu melihat anak saudaranya.

Iklan

"Selepas berbuka, saya ada pergi melihat dan bertanyakan apa yang budak-budak itu makan, selepas itu kami tidur awal sebelum dikejutkan dengan kehadiran anggota polis datang bertanyakan hal anak-anak saudara saya," ujarnya.

Tambahnya, ahli keluarga lain pernah memberikan cadangan kepada adiknya untuk menghantar anak OKU di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun wanita itu menolak kerana tidak sanggup berpisah dan bimbang anaknya dibuli.

"Anak sulungnya sekolah pendidikan khas, anak kedua bersekolah menengah dan anak bongsu pula diberhentikan sekolah ketika darjah lima dan sepatutnya bersekolah menengah tingkatan satu tahun ini," katanya.

Suami Hamidah dikenali sebagai Basir pula berkata, adik iparnya baharu sahaja kembali bergelar isteri selepas tiga bulan berkahwin dengan suami baharu.

"Saya nampak biras saya mesra dengan anak-anaknya tirinya. Dia juga sempat memberikan duit RM1 kepada ketiga-tiga anak tirinya sebelum pulang ke kampungnya di Alor Sena, Beseri pada malam kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal polis mendapati tiada sebarang kesan penderaan terhadap ketiga-tiga kanak-kanak tersebut.

Walau bagaimanapun, siasatan masih lagi dijalankan terhadap suspek dan mangsa.

Semalam Sinar Harian melaporkan tiga beradik dipercayai mangsa dera ditemui dalam keadaan kaki masih berantai di tepi titi, Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di sini pada Jumaat.

Mangsa berusia 13 hingga 16 tahun ditemui oleh orang awam yang kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis.

Polis telah menahan seorang wanita berusia 46 tahun dipercayai ibu mangsa dan seorang lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siasatan.