TV9 ajak ummah bersama martabatkan al-Quran

Iklan
Program World #QuranHour

SHAH ALAM - TV9 di bawah Media Prima Berhad memberi sokongan dan bersama mengambil tanggungjawab untuk mengajak orang ramai menyertai World #QuranHour yang diadakan secara serentak di seluruh dunia pada 13 April ini bersamaan 22 Ramadan 1444H.

Pengurus Besar Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman berkata, penganjuran World #Quran Hour adalah sangat berketepatan dengan objektif untuk menyampaikan mesej kepada umat Islam untuk bersama bersoladiriti dalam memartabatkan al-Quran dan menghayati makna di sebalik ayat-ayat al-Quran.

Iklan
Iklan

Makna di sebalik ayat-ayat al-Quran merupakan asas hala tuju manusia yang seharusnya dipraktikkan dalam kehidupan seharian atau lebih dikenali sebagai kitab asas kehidupan umat Islam.

"Pihak TV9 bertanggungjawab untuk menjemput orang ramai turut sama memeriahkan World #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau di lokasi masing-masing untuk membaca dan bertadabur al-Quran pada hari tersebut.

Iklan

"Sempena Ramadan yang mulia ini, TV9 berbesar hati dalam menyebarkan aktiviti dakwah ini. Semoga kita dapat menyampaikan mesej kepada komuniti al-Quran yang lebih besar dan menarik minat orang ramai untuk mendekatkan diri dengan al-Quran setiap hari," katanya.

Ditanya mengenai misi Surah Al-Insan yang membawa tema"Memanusiakan manusia” pada World #QuranHour 1444H, Khairunnisa berpendapat, sifat kemanusiaan semakin terhakis hari ini disebabkan kurang pengetahuan dan penghayatan manusia mengenai agama Islam.

Iklan

Beliau berkata, umat Islam seharusnya perlu menjadi khalifah dalam menyebarkan agama Islam dan menunjukkan contoh akhlak umat Islam yang sebenar kepada bangsa lain.

"Dengan memahami dan menghayati mesej ALLAH melalui al-Quran, ia mampu mendidik hati manusia untuk saling menghormati dan menjaga kata-kata terutamanya di platform media sosial.

"Kebanyakan umat Islam sibuk dengan urusan pekerjaan dan tanggungjawab masing-masing, sehingga kurang masa untuk membaca dan memahami al-Quran.

"Oleh itu, program berpandukan al-Quran mampu mendekatkan umat Islam untuk berinteraksi di mana sahaja melalui medium TV, media sosial, dan di studio untuk mendapatkan ilmu daripada asatizah yang bertauliah," katanya.

Sementara itu, TV9 menjadi stesen televisyen pertama yang menayangkan program My #QuranTime 2.0 yang dibawakan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui dana Tabung Gerakan Al-Quran bermula 5 Februari lalu.

Khairunnisa berkata, ia merupakan tanggungjawab TV9 untuk memartabatkan program dakwah dan menyebarkan kepada lebih ramai penonton.

Katanya, TV9 menayangkan My #QuranTime 2.0 pada pukul 12 hingga 1 tengah hari dan ulang siar pada pukul 4.30 pagi dan juga secara digital di TV9 di platform tonton.

Beliau berharap program seperti ini akan mendapat sambutan lebih ramai penonton, mudah difahami dan lebih penghayatan oleh penonton.

"Alhamdulillah, penerimaan terhadap My #QuranTime sangat positif dan menerusi platform media sosial. Penonton sangat berterima kasih kerana TV9 menayangkan My #QuranTime di TV penyiaran percuma. Ini memudahkan mereka untuk mempelajari al-Quran di hadapan kaca TV di rumah atau di mana sahaja mereka berada melalui aplikasi Tonton Live.”

"TV9 ingin menjadi suara bagi setiap komuniti yang ingin membicara sesuatu isu atau permasalahan yang perlu diutarakan kepada pihak yang berwajib iaitu melalui berita terawal iaitu Buletin TV9.

"Melalui platform Buletin TV9, ia dapat mendekatkan TV9 dengan pelbagai isu rakyat dan kami cuba mencari penyelesaian dan membantu pihak-pihak yang memerlukan bantuan. Selain itu, TV9 juga ingin menjadi pusat untuk masyarakat mendapatkan makanan kerohanian melalui program seperti Tanyalah Ustaz, My #QuranTime," katanya.

Ditanya mengenai cabaran sebagai peneraju TV9, beliau berkata, program kemasyarakatan perlu diberi nafas baru supaya menarik minat penonton untuk kekal menonton. Cabaran utama TV9 adalah meraih perhatian serta kekal relevan dalam menyampaikan mesej positif kepada masyarakat melalui pelbagai platform dan program.

"Kami di TV9 sentiasa ingin mencari pendekatan dalam mendekatkan diri dengan masyarakat melalui kempen-kempen yang dapat membantu masyarakat dalam menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik.

"Besar harapan kami di TV9 agar program-program agama seperti ini mendapat tempat di hati penonton dan suatu hari nanti akan menjadi genre Nombor 1 di Malaysia dan lebih hebat daripada lambakan program-program hiburan,” katanya lagi.

Melalui World #QuranHour, al-Quran menjadi tali penghubung dan solusi umat Islam di seluruh dunia. Kerjasama sinergi media Malaysia termasuk TV9 dan lain organisasi media dalam menjayakan kempen #QuranHour sejak lapan tahun lalu agar dapat diteruskan dalam membawa misi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah.

Orang ramai yang ingin menjadi peserta World #QuranHour, sila daftar https://bit.ly/KEHADIRANWQH1444H2023. Untuk mendaftar sebagai penganjur di lokasi masing-masing, sila klik di: https://bit.ly/HOTSPOTWQH2023