TAPAH - Rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di enam negeri bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini lebih kompleks, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menurut beliau, banyak perkara perlu diberikan penelitian agar pembahagian kerusi yang dibuat benar-benar menggambarkan semangat bersatu padu kalangan parti di bawah Kerajaan Perpaduan.
"Ini jadi cabaran utama kepada setiap pemimpin parti kerana kita tahu, kalau dulu, tiga orang makan satu pinggan berkongsi satu dulang makan nasi ambeng. Jika BN bertanding, maka pembahagian hanya bersama parti komponen BN.
"Senario sekarang berbeza, lebih kompleks kerana melibatkan gugusan parti yang ada BN dan PH. Jadi semangat perpaduan perlu digambarkan sepenuhnya dalam konteks pembahagian kerusi ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Pusat Khidmat ADUN Chenderiang di sini pada Ahad.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, setakat ini rundingan pembahagian kerusi antara PH dan BN masih lagi berjalan dan hanya akan dimuktamadkan pada pertengahan April depan.
Katanya, banyak lagi aspek perlu diambil kira dan diperincikan termasuk kerusi-kerusi tradisi yang ditandingi setiap parti.
"Sejak tubuhnya Kerajaan Perpaduan, semua percaturan politik jadi berlainan, maka jika tidak (dirundingkan) akan menjadi satu topik hangat yang dibincangkan semua parti.
"Dulu PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) yang melawan jadi kawan. Jadi kita nak memikirkan pergerakan bersama supaya nanti mereka yang sudah menjadi kawan tidak menjadi lawan," katanya.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, Pusat Khidmat ADUN Chenderiang yang dibuka berdekatan Dewan Bukit Pagar di sini penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
"Di kawasan ini (Tapah), seorang Ahli Parlimen dan dua ADUN datangnya daripada BN.
"Harapan kita agar tiga serangkai wakil rakyat ini dapat bekerja kuat sebagai satu pasukan dan berupaya mengekalkan kubu kuat BN di sini," katanya.
Pada PRU15 lalu, kerusi Parlimen Tapah dimenangi Datuk Seri M Saravanan dari MIC, kerusi DUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin (UMNO) dan DUN Chenderiang, Choong Shin Heng (MCA).