Arif Aiman, Endrick terlepas aksi bertemu Hong Kong

Iklan
Pan-gon mengesahkan Arif Aiman dan Endrick mengalami kecederaan.

PEMAIN sayap, Arif Aiman Mohd Hanapi dan pemain tengah, Endrick Dos Santos disahkan tidak akan beraksi dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa ini.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, kedua-dua pemain itu telah dilepaskan dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas mengalami kecederaan.

Iklan
Iklan

"Dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick sah tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa.

"Pegawai dan pasukan perubatan FAM sentiasa mengutamakan kesihatan serta keselamatan pemainnya dan telah bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Endrick ​​dari kem latihan pusat ini supaya mereka dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, ketiadaan Arif Aiman menimbulkan tanda tanya selepas tiada dalam senarai pemain ketika menentang Turkmenistan selain kelibatnya tidak kelihatan dalam sesi latihan.

Pan-gon turut menjelaskan, tiada pemain baharu akan dipanggil mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kedua-dua pemain itu.

Iklan

"Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini dan tiada penambahan pemain baharu," katanya.