Zahid pertahan pelantikan Asyraf sebagai Pengerusi Mara

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama penerima kunci Skim Perumahan Rakyat Perda pada Ahad.

BUTTERWORTH - Pelantikan Bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu dibuat bukan atas lantikan politik semata-mata namun berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang perbankan dan kewangan Islam selain mempunyai kelulusan tinggi menerajui organisasi itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan latar belakang kelulusan serta pengalaman yang dimiliki Asyraf Wajdi diharapkan akan dapat membantu membangunkan Mara sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.

Iklan
Iklan

"Maka rugi lah dengan pengalaman dan kelulusan beliau kalau kita tak gunakan untuk bersama-sama dengan saya bagi membangunkan Mara," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertikaian beberapa pihak atas pelantikan Asyraf Wajdi yang dibuat atas lantikan politik.

Iklan

Pada Sabtu sebuah portal melaporkan, seorang aktivis anti-rasuah mengkritik pelantikan Asyraf Wajdi Dusuki daripada UMNO sebagai pengerusi Mara yang baharu, sambil berkata ia menimbulkan banyak tanda tanya.

Edmund Terence Gomez berkata, kerajaan tidak boleh mengambil seorang 'ahli politik tidak dikenali' dan melantiknya ke salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Iklan

"Kita tidak tahu sama ada ini dilakukan dengan niat baik atau dilakukan atas sebab politik,” katanya dalam forum bertajuk 'Rasuah sebagai Masalah Ekonomi'.

Pelantikan Asyraf sebagai pengerusi Mara turut dikritik ahli Parlimen pembangkang dan badan pemantau pilihan raya Bersih yang mempersoalkan jika kerajaan mengubah pendiriannya mengenai lantikan politik bagi GLC.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelantikan yang dibuat itu berdasarkan garis panduan oleh kabinet dan mengikut nasihat Perdana Menteri.

Tegasnya, pihak berkenaan tidak perlu hanya melihat lantikan kerana seseorang itu memegang jawatan dalam politik atau bergelar ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri namun harus dilihat latar belakang individu berkenaan.

"Jadi ini adalah sesuatu yang lumrah pernah dilakukan dan kita tidak akan melantik mana-mana individu yang tak berikan sumbangan kepada organisasi yang diketuainya," tambahnya lagi.