FAMA buka tiga bazar Ramadan di Sabah, tawar harga berpatutan

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF
KOTA KINABALU - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), membuka tiga lokasi Bazar Ramadan di Sabah, bagi memberi peluang kepada orang ramai membeli pelbagai juadah berbuka puasa pada harga berpatutan.

Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, tiga lokasi berkenaan ialah di Asia City, Taman Putera Jaya Telipok dan Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah, dengan melibatkan seramai 131 penjual.

"Saya melihat sambutan terhadap Bazar Ramadan pada kali ini cukup baik, dengan kehadiran ramai pengunjung tidak kira yang beragama Islam atau tidak...ini menunjukkan sektor ekonomi kita semakin rancak berbanding pada tahun-tahun lepas, selepas negara dilanda Covid-19.

"Saya berharap orang ramai di sekitar kawasan berkenaan dapat meluangkan masa berkunjung ke Bazar Ramadan FAMA kerana harga yang berpatutan untuk semua juadah yang dijual, selain itu kebersihan juga sangat baik, dan pihak berkuasa sering membuat pemantauan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau meninjau Bazar Ramadan FAMA Asia City di sini yang telah memasuki tahun ke-21 penganjurannya sejak 2001.

"Pada tahun ini FAMA menyasarkan RM800,000 jualan di Bazar Asia City dan saya jangkakan sasaran berkenaan dapat dicapai, berikutan sambutan yg sangat mengalakkan dengan penyertaan 95 usahawan,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Foong Hin berkata, rentetan pelancaran Jualan Ramadan Madani Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Putrajaya pada 17 Mac lepas, FAMA Sabah turut membuka tiga lokasi Jualan Ramadan Madani di Pasar Tani Asia City, Pasar Tani Keningau dan Pasar Tani Putrajaya, Telipok.

"Jualan Ramadan Madani telah diadakan di 103 lokasi di seluruh negara melibatkan 5,124 orang usahawan,” katanya. - Bernama