SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik dalam kunjungan lawatan rasmi ke Arab Saudi pada Rabu hingga Jumaat lalu.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah berkata, terdapat dua matlamat yang dikehendaki oleh rakyat apabila pemimpin membuat lawatan rasmi ke luar negara.
Menurut beliau, negara memerlukan pelaburan masuk dari negara yang dilawati untuk membina lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.
"Terbukti, Anwar telah menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha dan rombongannya di Makkah. Kita sedar peranan OIC amat besar dalam komuniti Islam di seluruh dunia.
"Dalam pertemuan tersebut, pelbagai isu yang dibincangkan antaranya mengenai Palestin, Afghanistan, Islamofobia, proses rundingan damai selatan Thailand dan Filipina serta beberapa permasalahan lain yang dihadapi umat Islam saat ini,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang dilihat lantang mengkritik kunjungan rasmi sulung Perdana Menteri ke Arab Saudi.
Antaranya, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa lawatan itu gagal ekoran Anwar tidak berpeluang bersemuka dengan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.
Selain itu, ujarnya, tiada sebarang laporan yang menyatakan Anwar dijemput memasuki Kaabah, seperti mana layanan yang biasa diberikan kepada ketua kerajaan semasa lawatan rasmi ke Kota Suci itu.
Dalam pada itu, Mohd Sany turut mempersoalkan tindakan segelintir pembangkang yang mendakwa lawatan tersebut tidak membawa sebarang impak terhadap negara.
"Jadi yang sepatutnya berdukacita apabila tidak dapat bertemu dengan pemimpin Arab Saudi bukannya negara, rakyat atau pembangkang, tetapi Anwar sendiri.
"Apa yang rakyat dan negara dapat kalau Anwar dapat masuk Kaabah sebagaimana yang dikehendaki oleh Wan Ahmad Fayhsal?” soalnya.